Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Sabah akan laksana ‘post-mortem’ prestasi sukan selepas SUKMA

Read Time:2 Minute, 0 Second

SHAH ALAM: Prestasi kontinjen Sabah pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026 akan melalui proses ‘post mortem’ bagi mengenal pasti kelemahan dan kekurangan yang perlu diperbaiki sebelum menghadapi kejohanan akan datang.

Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, penilaian itu penting bagi memastikan persiapan kontinjen negeri dapat diperkemaskan, khususnya menjelang SUKMA akan datang yang dijadualkan berlangsung di Kelantan dalam tempoh dua tahun lagi.

Menurutnya, walaupun kontinjen Sabah tidak berjaya mencapai sasaran 40 pingat emas yang ditetapkan, pencapaian pada temasya kali ini tetap menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian sebelum ini.

“Namun, apa pun, kita akan membuat ‘post-mortem’ terhadap pencapaian kontinjen Sabah di Kejohanan SUKMA.

“Insya-Allah kita akan memperbaiki di mana ada kelemahan dan kekurangan untuk kita menghadapi Sukan Malaysia yang akan diadakan dua tahun akan datang di negeri Kelantan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas menghadiri Majlis Penutupan SUKMA XXII Selangor di Aneka Walk di sini pada Isnin.

Majlis penutupan disempurnakan Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah dan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Nizam berkata, sasaran 40 pingat emas masih menjadi matlamat Sabah pada temasya SUKMA akan datang.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penilaian menyeluruh terhadap prestasi kontinjen dapat membantu pihak berkaitan merangka strategi lebih berkesan bagi meningkatkan pencapaian Sabah.

Pada masa sama, Nizam menzahirkan penghargaan kepada seluruh kontinjen Sabah termasuk atlet, pengurusan, Majlis Sukan Negeri serta semua pihak yang terlibat dalam persiapan menghadapi SUKMA.

Katanya, terdapat beberapa acara sukan yang berjaya mencapai sasaran malah mencatat pencapaian lebih baik daripada yang ditetapkan, termasuk sepak takraw dan petanque.

“Walaupun ia tidak mencapai sasaran kita, saya ingin menyatakan rasa bangga saya kepada kesungguhan atlet-atlet Sabah.

“Ada sukan yang mencapai sasaran mereka, malah ada yang memberi yang lebih baik daripada sasaran seperti sepak takraw dan sukan petanque yang menunjukkan komitmen yang begitu jitu sehingga mereka mencapai kecemerlangan dengan pemungutan pingat yang melebihi daripada sasaran,” katanya.

Nizam berkata, pencapaian tersebut membuktikan masih terdapat potensi besar dalam kalangan atlet Sabah yang boleh dikembangkan melalui persiapan lebih terancang.

Beliau berharap hasil ‘post-mortem’ yang akan dijalankan dapat menjadi asas kepada usaha memperbaiki prestasi keseluruhan kontinjen Sabah serta merealisasikan sasaran 40 pingat emas pada SUKMA akan datang.

“Mudah-mudahan kita akan dapat mencapai sasaran kita untuk mendapat 40 pingat emas di kejohanan SUKMA yang akan datang, insya-Allah,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE