Read Time:1 Minute, 41 Second
Oleh J Evachel John
KOTA KINABALU: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, selepas mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan dengan bersenjatakan sebilah pisau.
Mohd Shah Fazlee Ali Khan, 30, menukar pengakuannya kepada bersalah sebelum perbicaraannya bermula di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Marlina Ibrahim.
Mohd Shah mengaku melakukan kesalahan itu dengan mengambil harta milik seorang wanita iaitu sebuah telefon bimbit, Ipad, passport dan wang tunai RM735 pada 10 Ogos 2025 jam 5 petang berhampiran kedai serbaneka 24 jam di Jalan Bundusan Penampang.
Mohd Shah didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, kejadian berlaku semasa pengadu (mangsa) ingin ke kedai serbaneka 24 jam untuk membeli makanan.
Mangsa didatangi seorang individu berbaju lengan panjang hitam dan memakai cermin mata hitam yang merompak beg silang pengadu sambil mengacukan pisau ke arah mangsa sebelum melarikan diri menuju sebuah kenderaan yang dipandu seorang lagi individu.
Menurut mangsa, dia boleh mengecam kedua-dua individu pada hari kejadian kerana mereka tidak memakai pelitup muka. Terdapat saksi mata yang boleh mengesahkan keterangan pengadu.
Memandangkan mangsa dan saksi mata masih ingat jenis, warna dan Nombor Pendaftaran kenderaan yang dinaiki oleh individu yang merompak pengadu, pihak polis telah berjaya mengesan pemilikan kereta tersebut.
Hasil siasatan lanjut berjaya menangkap dua individu yang terlibat pada hari kejadian termasuk tertuduh, Mohd Shah.
Mangsa dan saksi mata berjaya mengecam tertuduh sebagai individu yang merompak dan mengacukan pisau, manakala seorang lagi dicam sebagai individu yang memandu kereta.
Mangsa juga mengecam pasport, telefon bimbit Huawei dan iPad jenis Apple miliknya yang dirampas daripada tertuduh.
Semasa rayuan, tertuduh meminta hukuman ringan kerana mempunyai tanggungan keluarga iaitu isteri dan anak serta menjaga ibunya.
Tertuduh berkata dia tidak mempunyai kerja dan terdesak melakukan kesalahan itu.
Timbalan Pendakwa Raya DK Afiqah Alya AK Johari @ Pg Johari memohon hukuman berat sebagai pengajaran.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman dari tarikh tangkap iaitu 20 Ogos 2025.






