Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

RM22.3 juta diperuntuk perkasa pekebun kecil RISDA Sabah tahun 2026

Read Time:2 Minute, 3 Second

TENOM: Kerajaan menerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM22.308 juta bagi memperkasa komuniti pekebun kecil di Sabah sepanjang tahun 2026 melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif pembangunan secara menyeluruh.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, daripada jumlah tersebut, RISDA Daerah Keningau menerima peruntukan RM4.66 juta bagi melaksanakan program pembangunan pekebun kecil di daerah berkenaan.

Menurutnya, peruntukan itu melibatkan tiga komponen utama iaitu Program Penanaman Semula Getah dan Bekalan, Program Produktiviti dan Pemasaran, serta Program Pengembangan dan Perancangan.

“Program Pekebun Kecil Makmur merupakan inisiatif Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) melalui RISDA bagi memastikan komuniti desa, khususnya pekebun kecil, menerima maklumat terkini yang bermanfaat untuk meningkatkan pulangan serta menyokong pembangunan desa yang mampan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Pekebun Kecil Makmur Peringkat RISDA Negeri Sabah Tahun 2026 di Dewan SJK(C) Chung Hwa, di sini, hari ini.

Jamawi berkata, program itu turut menjadi platform berimpak tinggi dalam usaha mengangkat martabat komuniti desa selari dengan Aspirasi Desa MADANI, selain membuka ruang kepada penjanaan pendapatan baharu.

Katanya, pekebun kecil tidak boleh lagi bergantung sepenuhnya kepada hasil getah memandangkan pasaran harga getah dunia ketika ini semakin mencabar.

“Usaha mempelbagaikan sumber pendapatan perlu diperkasakan bagi memastikan kelangsungan ekonomi komuniti pekebun kecil,” katanya.

Mengulas cabaran sektor getah, beliau berkata Rekod Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023 menunjukkan sebanyak 24,443 hektar kebun getah matang atau sedia ditoreh di Sabah tidak lagi diusahakan.

“Keadaan ini menyumbang kepada penurunan pengeluaran getah asli negara, sekali gus menjejaskan pendapatan pekebun kecil dan sumbangan sektor komoditi getah kepada ekonomi negara,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KKDW dan RISDA terus memberi keutamaan kepada usaha meningkatkan hasil serta produktiviti kebun agar pekebun kecil kekal berdaya saing.

Dalam perkembangan sama, Jamawi memaklumkan RISDA Negeri Sabah menerima peruntukan RM1.5 juta khusus bagi meningkatkan produktiviti kebun getah pekebun kecil.

“Antara inisiatif dilaksanakan termasuk Program Pemulihan Getah Terbiar, Program Pengeluaran Hasil Getah Matang, Insentif Pengeluaran Hasil Getah (Lateks) serta penyediaan prasarana ladang,” katanya.

Beliau berkata, insentif pengeluaran lateks mampu memberikan pulangan lebih baik berbanding hasil skrap, sekali gus membantu meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada KKDW dan RISDA atas komitmen berterusan dalam memperkasa komuniti desa, khususnya pekebun kecil getah di Sabah, selain berharap kerjasama erat antara Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) dan RISDA dapat diperkukuhkan.

Beliau turut menggesa pekebun kecil serta pemilik tanah terbiar agar sentiasa berhubung dengan RISDA dan LIGS bagi mendapatkan panduan serta memanfaatkan tanah secara lebih produktif.

LEAVE A RESPONSE