Read Time:1 Minute, 4 Second
Oleh Normimie Diun
KOTA KINABALU: Pemanah berbakat Sabah, Quik Chern Xin, sekali lagi mencipta sejarah apabila berjaya mempertahankan gelaran juara Kejohanan Memanah Kebangsaan (KMK) yang dimenanginya tahun lalu.
Quik merangkul kejuaraan itu di Kejohanan Memanah Kebangsaan Grand Final 2025 anjuran Persatuan Memanah Kebangsaan Malaysia (NAAM) yang berlangsung di Nilai, Negeri Sembilan pada 2 – 5 Oktober 2025.
Acara berprestij itu merupakan siri pertandingan memanah peringkat kebangsaan yang menyaksikan 32 pemanah terbaik negara layak ke pusingan akhir.
Selain Quik, seorang lagi pemanah kelahiran Sabah, Evan Rich Chong, turut membanggakan negeri ini apabila meraih pingat gangsa dalam acara akhir tersebut.
Dengan kejayaan cemerlang itu, Quik kini berada di tangga pertama, manakala Evan menduduki tempat keempat dalam sistem ranking pemanah kebangsaan.
Lebih manis lagi, kedua-dua mereka bersama seorang lagi pemanah Sabah, Syafiq Busthamin, berpotensi besar menyertai skuad negara ke Sukan SEA akan datang.
Jika terpilih, ia bakal mencatat sejarah baharu apabila pasukan recurve lelaki kebangsaan terdiri daripada majoriti pemanah yang digilap dari Sabah.
Dalam acara divisyen compound, seorang lagi wakil Sabah, Goh Chun Shen, turut menyerlah apabila menamatkan pusingan kelayakan KMK akhir di tempat keempat, sekali gus mengharumkan nama Persatuan Memanah Negeri Sabah (SASA).
Sementara itu, bekas pemanah negara, Fatin Nurfatehah Mat Salleh, turut membuktikan kehebatannya apabila muncul juara wanita compound selepas memenangi pingat emas individu.