Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Norazlinah yakin pertahan mandat rakyat

Read Time:1 Minute, 23 Second

Oleh Erdie Ab Wahid

KUNAK:  Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kunak Datuk Norazlinah Arif menzahirkan keyakinan tinggi dalam usaha mempertahankan mandat rakyat pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah ke-17 (PRU DU Sabah ke-17).

Menurut beliau, perjuangan kali ini bukan sekadar untuk mempertahankan kerusi, tetapi untuk membuktikan bahawa sokongan rakyat terhadap kepimpinannya bukan hanya bergantung kepada lambang parti semata-mata.

“Alhamdulillah, sudah tentu harapan kali ini adalah untuk memenangkan GRS di DUN Kunak. Sebelum ini saya menang atas tiket Warisan, dan cabarannya kini adalah untuk membuktikan bahawa kemenangan itu adalah suara rakyat, bukan kerana logo parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media selepas majlis pengumuman calon di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Rabu.

Terdahulu, beliau diumumkan sebagai calon GRS yang diumumkan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Norazlinah turut menegaskan bahawa jentera GRS di Kunak kini hampir bersedia sepenuhnya bagi menghadapi tempoh kempen selama dua minggu.

“Untuk DUN Kunak, kita sudah bersedia hampir 90 peratus. Semua markas telahpun didirikan, proses validasi ahli dan penjejak pengundi juga berjalan lancar sejak awal selepas pembubaran DUN.

“InsyaAllah, berbaki kurang daripada dua minggu ini, kita akan teruskan momentum dan kekalkan konsistensi kerja keras sehingga ke hari pengundian,” tambahnya.

Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru golongan muda dan pengundi baharu, khususnya pengundi 18 tahun ke atas, agar memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju kepimpinan negeri.

“Saya sangat mengharapkan agar adik-adik pengundi baharu menunjukkan semangat tinggi dalam memilih kerajaan yang benar-benar mencintai negeri Sabah.

“Tanggungjawab ini amat besar untuk memastikan pemimpin yang dipilih benar-benar berjiwa rakyat dan mengasihi tanah air,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE