Read Time:2 Minute, 23 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU : Seramai lebih 250 ahli Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Bahagian Darau hari ini mengumumkan keluar parti dan menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).
Penyertaan itu diketuai oleh Bekas Ketua Wiranita STAR N17 Darau Datin Nollyzai Datuk Awg Sham dan turut menyerahkan boring keahlian kepada Setiausaha Agung Gagasan Rakyat yang juga Ketua Bahagian Darau Datuk Razali Razi.

Razali ketika ditemui berkata, tindakan bekas pemimpin dan ahli parti STAR yang meninggalkan parti untuk bersama Gagasan Rakyat atau Gabungan Rakyat Sabah (GRS) adalah atas keyakinan terhadap kemampuan gabungan parti tempatan itu.
“Mereka percaya dengan perjuangan Gagasan Rakyat dan GRS yang jelas serta konsisten. Kita tidak sekadar bercakap, tetapi bekerja.
“Rakyat hari ini mahu lihat sistem penyampaian yang berkesan, dan itu yang kita buktikan,” katanya.
Beliau menjelaskan, keputusan itu juga adalah manifestasi sokongan terhadap dasar pembangunan dan kestabilan politik yang dibawa Gagasan Rakyat dan GRS.

Ditanya mengenai impak sokongan baharu itu terhadap persiapan pilihan raya negeri akan datang, beliau optimis pengukuhan akar umbi di Darau akan melonjakkan kekuatan GRS.
“Semakin bertambah kuat. Kita yakin GRS akan terus memerintah Kerajaan Negeri Sabah. Segala-galanya akan terbukti pada 29 November nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Razali menafikan sebarang dakwaan memberi tawaran tertentu kepada pemimpin dan ahli STAR untuk meninggalkan parti itu dan kembali kepada GRS.
Setiausaha Agung Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Mohamed Razali Razi, berkata tiada sebarang tawaran kepada mana-mana pihak untuk meninggalkan parti mereka bagi menyertai GRS.
“Sebelum ini STAR di bawah satu rumah dengan GRS dan mereka percaya serta yakin bahawa kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor adalah pemimpin yang tepat yang perlu kita teruskan.
“Kita tidak mahu macam dulu rakyat Sabah yang rugi, kita mahu kesinambungan, kita mahu kestabilan. Kalau setiap lima tahun kita tukar polisi, tukar macam-macam, yang rugi adalah rakyat,” katanya.
Sementara itu, Nollyzai menegaskan beliau tidak diberi sebarang tawaran untuk meninggalkan STAR, selain tidak pernah terlibat dalam politik wang.
“Sepanjang saya dalam bidang politik ini, saya belum pernah terlibat dengan politik wang. Saya sebagai bekas ketua Wiranita STAR dan teman-teman saya yang lain, kami percaya terhadap Gagasan Rakyat.
“Kami yakin dengan kepimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Hajiji Noor dan saya juga yakin terhadap ketua saya, Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Darau, Datuk Razali.
“Saya yakin dengan kredibilitinya, saya yakin dengan kebolehan dan komitmennya yang boleh memperjuangkan rakyat dan komuniti di Darau,” katanya.
STAR terkeluar dari GRS sejak awal Oktober selepas Presidennya Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan pendiriannya untuk membawa parti pimpinannya itu bertanding menggunakan logo sendiri atau secara solo.
Parti itu bersama satu lagi bekas komponen GRS, Parti Maju Sabah (SAPP) kemudiannya bekerjasama membentuk gabungan baharu Gerakan Bersatu Sabah (GBS) yang akan bertanding di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah. – SABAH MEDIA






