Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Kerjasama PBS-Gagasan Rakyat kukuhkan peluang GRS di DUN Kundasang

Read Time:1 Minute, 19 Second

KUNDASANG : Kerjasama antara dua parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Kundasang, diperkukuhkan melalui persetujuan persefahaman bagi memastikan kemenangan calon GRS di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah Ke-17 (PRU DU Sabah Ke-17).

Dua parti berkenaan adalah Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat).

Persetujuan itu dicapai dalam pertemuan empat mata antara Ketua Bahagian PBS Kundasang, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, dan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Kundasang, Johari @ Joe Suhaimin.

Pertemuan ini menamatkan spekulasi bahawa kedua pemimpin mungkin akan berentap dalam pilihan raya yang bakal berlangsung pada 29 November 2025.

Dr Joachim, yang juga penyandang kerusi DUN Kundasang, memberikan taklimat ringkas mengenai persediaan dan strategi pilihan raya PBS.

Beliau menyambut baik kerjasama dengan Gagasan Rakyat dan menekankan bahawa kedua-dua parti akan bergabung dalam pasukan kecil bagi melaksanakan pergerakan kempen secara lebih tersusun.

“Kita amat berbesar hati dengan kerjasama ini. PBS dan Gagasan Rakyat akan bergerak sebagai satu pasukan untuk memastikan pengundi terus memberi kepercayaan kepada calon GRS,” katanya.

Sementara itu, Johari memaklumkan bahawa Gagasan Rakyat Kundasang akan menggunakan data pengundi dengan teliti untuk memastikan gerak kerja kempen lebih tertumpu.

Beliau memberi jaminan 100 peratus sokongan Gagasan Rakyat kepada calon GRS dan komitmen penuh jentera parti dalam PRN17 nanti.

Pertemuan itu turut dihadiri oleh pemimpin kanan dan penyokong kedua-dua parti, yang memberikan sokongan padu terhadap usaha kerjasama bagi mengekalkan DUN Kundasang di bawah GRS.

Dengan persiapan rapi dan kerjasama kukuh ini, PBS dan Gagasan Rakyat yakin dapat memperoleh kemenangan dalam PRN yang hanya berbaki kurang sebulan lagi. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE