Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRU Sabah : Kekalkan Kerajaan sedia ada demi kesinambungan pembangunan – Razali

Read Time:1 Minute, 12 Second

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menyeru para pengundi untuk terus mengekalkan Kerajaan sedia ada bagi meneruskan kesinambungan pembangunan dan bantuan yang dinikmati rakyat Sabah ketika ini.

Calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Darau Datuk Mohamed Razali Razi berkata, perjuangan GRS bukan sekadar janji kosong, sebaliknya berteraskan kepada kerja lapangan, amal kebajikan dan prestasi yang telah dibuktikan lebih tiga tahun bersama rakyat khususnya di kawasan DUN Darau.

“Kita turun ke lapangan bukan untuk berbohong, tetapi dengan kerja-kerja amal, dengan bukti dan prestasi. 

“Banyak masalah rakyat Darau dan Karambunai yang kita faham dan kita dengar sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Kempen Rumah Kita, Kita Jaga di perkarangan Masjid Al-Munir Darau di sini pada Rabu 

Majlis itu turut dihadiri Ketua Menteri yang juga Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.

Razali berkata, rakyat sebelum ini sering meluahkan rasa tiada tempat mengadu dan tiada wadah untuk menyuarakan masalah, namun keadaan itu bakal berubah sekiranya GRS terus diberikan mandat menerajui kerajaan negeri.

Beliau turut menegaskan bahawa kestabilan politik amat penting untuk memastikan bantuan rakyat tidak terhenti serta pembangunan dapat diteruskan tanpa gangguan.

“Kalau kita asyik tukar-tukar kerajaan, yang rugi siapa? Rakyat juga. Kalau kita mahu kesinambungan, inilah partinya, inilah pemimpinnya,” katanya.

Sementara itu, Razali berkata, beliau turut mengajak pengundi supaya membuat pilihan berdasarkan kebijaksanaan dan keinsafan.

“Ini bukan untuk kepentingan peribadi, bukan untuk diri Razali, tetapi sebagai wakil suara rakyat Darau,” katanya.- SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE