Proses pengundian di Sabah terkawal, 157 laporan pilihan raya diterima sepanjang kempen – Ketua Polis Negara
Read Time:1 Minute, 26 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata keadaan keseluruhan proses pengundian di Sabah hari ini adalah terkawal, aman dan berjalan lancar.
“Saya melihat rakyat Sabah cukup matang dalam melaksanakan tanggungjawab mengundi, yang menjadi penentu kepada siapa yang bakal membentuk kerajaan negeri selepas tamatnya proses pilihan raya hari ini,” katanya dalam sidang media selepas melakukan tinjauan di pusat mengundi SJKC Chung Hwa Kota Kinabalu di sini, pagi tadi.
Sementara sepanjang dua minggi kempen, sebanyak 157 laporan polis berkaitan pelanggaran undang-undang Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan (DU) Sabah ke-17 telah diterima setakat hari ini.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 86 kertas siasatan telah dibuka, dan dirujuk kepada pihak berwajib.
“Sekiranya ada unsur yang bertentangan dengan undang-undang, kita akan mengambil tindakan selanjutnya. Kita juga merujuk beberapa kes kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan satu kes kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membabitkan isu berkaitan media sosial,” katanya.
Mohd Khalid berkata laporan yang diterima kebanyakannya membabitkan kesalahan pilihan raya, antaranya mencabut bendera parti serta perbuatan khianat terhadap poster dan bahan kempen.
Beliau turut mengesahkan terdapat laporan berkaitan fitnah dan provokasi di media sosial, yang turut dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP) untuk penelitian lanjut.
Ditanya mengenai kemungkinan insiden banjir, Mohd Khalid berkata setakat ini tiada laporan diterima.
“Cuaca kelihatan baik, namun saya menyeru pengundi supaya keluar lebih awal kerana keadaan pada sebelah petang dilihat agak mendung,” katanya.







