Read Time:1 Minute, 21 Second
KOTA KINABALU : Usaha memperkukuh kesihatan mental dalam kalangan remaja berisiko di Sabah terus diperkasakan menerusi pelaksanaan Projek MyHero.
Ia merupakan satu kajian penyelidikan antarabangsa yang memberi tumpuan kepada literasi kesihatan mental, pencegahan awal masalah psikososial serta pembangunan intervensi berasaskan sekolah.
Projek penyelidikan itu dibentangkan dalam satu kunjungan hormat pasukan penyelidik ke Kementerian Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, yang diketuai oleh Prof. Dr. Cecilia A. Essau dari University of Roehampton yang juga Profesor Pelawat di Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial, Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Projem MyHero Project merupakan kajian yang menerima geran antarabangsa daripada Kavli Trust, Norway, dan dilaksanakan melalui kerjasama antara UMS, University of Roehampton serta enam universiti tempatan dan antarabangsa lain.
Projek ini mensasarkan remaja berisiko dengan pendekatan pencegahan awal bagi menangani isu kesihatan mental yang semakin membimbangkan dalam kalangan golongan muda.
Dalam sesi perbincangan, pasukan penyelidik membentangkan dapatan awal kajian serta perancangan pelaksanaan program di Sabah, termasuk pembangunan modul intervensi yang sesuai dengan persekitaran sekolah dan komuniti setempat.
Inisiatif itu dilihat mampu membantu mengesan masalah kesihatan mental lebih awal serta mengurangkan risiko masalah psikososial berpanjangan.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki ketika menerima kunjungan pasukan penyelidik UMS menyambut baik pelaksanaan projek berkenaan dan menegaskan bahawa pendekatan berasaskan penyelidikan amat penting dalam merangka program kesihatan mental yang berkesan, khususnya bagi remaja dan kanak-kanak.
Beliau berkata, kerjasama strategik antara kementerian dan institusi penyelidikan bukan sahaja dapat meningkatkan kesedaran kesihatan mental, malah berpotensi menyumbang kepada penggubalan dasar serta program intervensi yang lebih menyeluruh dan berasaskan bukti di negeri Sabah.
Hadir sama pada kunjungan itu Ahli Penyelidik UMS Dr Suwaibah Zakaria dan beberapa konsultan projek.






