Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Program Durian Santai Media eratkan hubungan MAFFI, pengamal media

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) mengambil inisiatif mengeratkan hubungan strategik bersama pengamal media menerusi penganjuran Program Durian Santai Media.

Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Ruslan Muharam berkata, program tersebut bukan sahaja bertujuan menghargai peranan pengamal media, malah sebagai platform menyokong hasil pertanian tempatan khususnya buah durian yang kini memasuki musim puncak.

Menurutnya, lebih 500 biji durian dengan anggaran berat keseluruhan 1.2 tan telah dibawa khas oleh pekebun dan peniaga tempatan untuk dikongsi bersama pengamal media serta warga Kementerian Komunikasi.

“Program ini memberi peluang kepada kita untuk berkongsi hasil rezeki yang melimpah pada musim ini di samping membantu petani dan peniaga memasarkan hasil durian mereka secara langsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program berkenaan di Kafeteria Kompleks Bersepadu Kementerian Komunikasi, di sini, pada Khamis.

Ruslan turut menegaskan bahawa program seumpama itu mampu memberi nilai tambah kepada sektor pertanian negeri Sabah melalui sokongan berterusan daripada pelbagai pihak termasuk media.

Dalam masa sama, Ruslan berharap kerjasama erat antara MAFFI dan pengamal media dapat diperkukuhkan demi penyampaian maklumat tepat berkaitan pembangunan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan kepada rakyat.

LEAVE A RESPONSE