Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

PRN17 : Hanya presiden berhak umum calon – Isquzawan

Read Time:1 Minute, 38 Second

PUTATAN : Pemimpin parti tidak seharusnya mengumumkan diri mereka sebagai calon bagi mana-mana kawasan selagi pengesahan rasmi belum dibuat oleh Presiden parti atau pihak yang diberi mandat.

Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Petagas Mohd Isquzawan Israq Arsit berkata, tindakan individu yang mengisytiharkan diri sebagai calon tanpa pengumuman rasmi daripada presiden boleh dianggap bertentangan dengan perlembagaan parti.

“Sebagai ahli parti, kita mesti menghormati perlembagaan dan sistem berpresiden yang diamalkan.

“Hanya presiden atau pihak yang dilantik seperti setiausaha agung sahaja berhak membuat pengumuman rasmi berkaitan calon,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Kejuaraan Dart Belia Putatan di sini pada Sabtu.

Isquzawan berkata, pemimpin dan ahli parti perlu memahami bahawa disiplin serta kepatuhan terhadap struktur organisasi amat penting bagi memastikan imej parti kekal utuh dan tidak mengelirukan rakyat.

“Kalau seseorang ahli parti sendiri membuat pengumuman tidak sahih, ia boleh menimbulkan kekeliruan di kalangan rakyat dan pengundi.

“Itu sebabnya maklumat rasmi mesti datang daripada sumber yang diberi kuasa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh mengenai peranan generasi muda dalam pilihan raya akan datang, sambil menyatakan keyakinan bahawa kepimpinan tertinggi parti akan memberi peluang kepada calon muda dan wanita untuk diketengahkan.

“Data menunjukkan lebih 600,000 pengundi baharu terdiri daripada golongan muda. Jadi keseimbangan calon amat penting.

“Perlu ada orang lama, wanita, dan juga belia supaya kita dapat mendekati semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau menegaskan, keseimbangan dalam pemilihan calon bukan sahaja mencerminkan semangat inklusif parti, malah memastikan setiap segmen masyarakat mempunyai wakil yang memahami keperluan mereka.

“Saya yakin presiden akan menilai dengan bijaksana agar calon yang diketengahkan nanti benar-benar mewakili suara rakyat Sabah secara menyeluruh,” tambahnya.

Beliau turut menyeru semua ahli parti agar tidak mudah terpengaruh dengan maklumat yang tidak sahih, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi daripada kepimpinan tertinggi.

“Kita mahu rakyat menerima maklumat tepat dan bukannya berita tidak sahih yang boleh mengelirukan mereka. Tanggungjawab menyampaikan maklumat ini harus datang daripada mereka yang benar-benar diberi amanah oleh parti,” katanya – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE