Read Time:1 Minute, 2 Second
BEAUFORT: Sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) baharu di Kampung Padas Damit, di sini dirancang untuk dibina bagi persiapan menghadapi banjir yang sering melanda daerah itu.
Pembantu Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Datuk Ruslan Muharam berkata, cadangan pembinaan PPS baharu itu telah diluluskan Ketua Menteri kira-kira dua tahun lalu.
Katanya, tapak pembinaan PPS itu telah dikenal pasti dan dijangka menjadi kemudahan kekal yang lebih selesa, strategik, dan mampu menampung sekitar 1,000 orang atau 300 Ketua Isi Rumah (KIR).
“Dewan Seri Dayang Padas Damit yang digunakan sebagai PPS pada banjir tahun ini merupakan kali pertama dibuka.
“Ini menunjukkan keperluan mendesak untuk PPS kekal yang lebih teratur dan berhampiran kawasan terjejas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di beberapa Pusat Penempatan Sementara (PPS) dan menyerahkan bakul makanan kepada mangsa terjejas banjir di sini pada Rabu.
Ruslan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan berkata, pejabat daerah kini sedang mengenal pasti lokasi sesuai serta menyusun pelan pembinaan bangunan PPS.
Katanya, ini termasuk penyediaan kemudahan lengkap bagi mangsa banjir dan petugas pengurusan bencana.
Menurutnya, pembinaan PPS baharu itu amat penting terutama bagi Zon Bangkalalak dan kampung-kampung sekitar, di mana proses pemindahan penduduk boleh dilaksanakan dengan lebih cepat dan selamat apabila banjir berlaku. – SABAH MEDIA






