Read Time:1 Minute, 54 Second
SEMPORNA: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor Isnin lalu disifatkan sebagai langkah berani dan bertanggungjawab dalam mengembalikan mandat kepada rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN-17).
Langkah itu menunjukkan keikhlasan kerajaan negeri dalam menjunjung prinsip demokrasi dan kebertanggungjawaban, sekali gus membuka ruang kepada rakyat untuk menilai semula prestasi serta hala tuju pentadbiran sedia ada.
Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sulabayan, Datuk Abdul Hajan Gurimbang, berkata keputusan itu menggambarkan kematangan politik kepimpinan negeri yang tidak gentar menyerahkan semula kuasa kepada rakyat.
“Tindakan ini membuktikan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Hajiji benar-benar menghormati suara rakyat dan yakin dengan kebijaksanaan mereka untuk membuat pilihan terbaik,” katanya dalam kenyataan media, di sini pada Selasa.
Beliau bagaimanapun menegur tindakan segelintir pemimpin pembangkang yang mula memainkan retorik politik sempit dengan menabur tohmahan dan persepsi negatif terhadap kerajaan negeri menjelang pilihan raya.
“Tindakan itu bukan sahaja tidak membantu rakyat, malah cuba memesongkan perhatian umum daripada rekod pencapaian sebenar kerajaan negeri yang telah berjaya mentadbir Sabah dengan berkesan sejak lima tahun lalu.
“Adakah rakyat mahu terus terjerat dengan politik retorik semata-mata, atau memilih politik khidmat yang bekerja untuk kesejahteraan mereka?” katanya.
Abdul Hajan turut menolak dakwaan pembangkang kononnya wujud isu rasuah dalam pentadbiran negeri, sambil menyifatkannya sebagai tuduhan tidak berasas dan dibuat tanpa bukti kukuh.
Beliau menegaskan bahawa sistem kehakiman dan agensi penyiasat bebas perlu dihormati untuk menjalankan tugas berdasarkan fakta serta siasatan yang sah, bukannya ditekan melalui persepsi awam.
“Pemimpin pembangkang sepatutnya memperkukuh nilai integriti dan keadilan, bukan menanam kebencian atau menafikan fungsi institusi keadilan yang telah lama berperanan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau mempersoalkan slogan pembangkang kononnya mahu ‘Selamatkan Sabah’ sedangkan ketika mereka berkuasa dahulu, tidak banyak perubahan dilakukan untuk membangunkan negeri.
Katanya, kerajaan GRS telah membuktikan komitmen dan keberkesanan pentadbiran dengan melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif termasuk Pelan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi pemacu utama pembangunan negeri dalam sektor pertanian, industri dan pelancongan.
Selain itu, katanya, projek Pan Borneo, usaha menaik taraf bekalan air dan elektrik luar bandar serta peluasan peluang pekerjaan dan keusahawanan turut membuktikan kesungguhan kerajaan membantu rakyat.
“Rakyat Sabah kini lebih matang dan menilai berdasarkan tindakan, bukan kata-kata kosong. Masa depan negeri ini hanya mampu dibina melalui kerja nyata, keikhlasan dan kestabilan,” katanya. – SABAH MEDIA