Read Time:1 Minute, 13 Second
SANDAKAN: Polis Daerah Sandakan berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 1,464.4 gram dan menahan seorang lelaki warga asing dalam satu operasi awal pagi Khamis.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner George Abd Rakman berkata, serbuan dijalankan kira-kira jam 5 pagi di sebuah rumah atas air tidak bernombor di kawasan setinggan Batu 3, hasil risikan dan maklumat awam.
“Premis tersebut dipercayai digunakan sebagai stor penyimpanan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Operasi berkenaan dijalankan oleh pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) IPD Sandakan dengan bantuan Bahagian Pencegahan (BP) Sandakan.
Menurut George, seorang lelaki warga Filipina berusia 42 tahun ditahan dalam serbuan itu.
“Suspek dipercayai bertindak sebagai pengedar dan penjaga stor penyimpanan dadah di lokasi berkenaan,” jelasnya.
Pemeriksaan lanjut menemukan bahan disyaki syabu dalam pelbagai bungkusan dengan berat keseluruhan 1,464.4 gram, dianggarkan bernilai RM48,000.
Suspek kini ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.
Selain itu, ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine, dan turut disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) akta sama.
George berkata, kejayaan tersebut hasil tindakan pantas serta kerjasama erat antara unit risikan dan pasukan operasi.
“Polis akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah di daerah ini secara berterusan. Komitmen ini sejajar dengan matlamat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjadikan Sandakan bebas daripada ancaman jenayah dadah,” tegasnya.






