Polis Penampang Berjaya Tumpaskan Dua Kes Dadah, Rampasan Termasuk Ekstasi dan Syabu – Sabah News
PENAMPANG: Polis Daerah Penampang menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPK Sabah berjaya menumpaskan dua kes berasingan berkaitan penyalahgunaan dadah dalam operasi yang dijalankan pada 27 dan 28 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton, dalam satu kenyataan media hari ini berkata, tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun yang ditahan pada 27 Jun sekitar jam 9.45 malam di hadapan lobi sebuah kondominium di daerah ini.
“Hasil pemeriksaan ke atas suspek menemukan enam paket plastik berisi serbuk disyaki dadah jenis ekstasi dengan berat anggaran 228 gram,” katanya.
Selain rampasan dadah yang dianggarkan bernilai RM4,800, pihak polis turut menyita sebuah kenderaan yang dipercayai digunakan suspek.
Suspek kini direman dan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang dari 12 kali, jika sabit kesalahan.
Dalam serbuan berasingan pada 28 Jun sekitar jam 2.00 petang, sepasukan anggota BSJN IPD Penampang menahan seorang wanita tempatan berusia 35 tahun di kawasan perumahan di Putatan.
Pemeriksaan menemukan tiga paket plastik lutsinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu seberat 5.22 gram. Saringan air kencing turut mengesahkan suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang membawa hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan sebatan tidak kurang tiga kali, serta Seksyen 15(1)(a) akta sama, yang memperuntukkan denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun, jika disabitkan.
Superintendan Sammy menegaskan bahawa pihak polis akan terus komited dalam usaha membanteras jenayah dadah yang menjadi ancaman kepada keselamatan masyarakat.
“Kami menyeru orang ramai agar terus menjadi mata dan telinga pihak berkuasa. Sebarang maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau penyalahgunaan dadah amat dialu-alukan,” ujarnya.
Kejayaan ini membuktikan ketegasan dan kesungguhan pasukan polis dalam memastikan Penampang dan kawasan sekitarnya bebas daripada gejala dadah.