Read Time:1 Minute, 57 Second
Oleh SITTI NOR AZIZAH TALATA
TAWAU: Penarikan diri calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Silam, Abdul Halim Sidek Gulam Hassan, membuka dimensi baharu dalam saingan di kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah Ke-17, sekali gus memberi laluan lebih jelas kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Menurut calon GRS bagi DUN Silam, Datuk Mizma Appehdullah, tindakan Abdul Halim itu bukan sahaja meredakan kekeliruan dalam kalangan penyokong, tetapi turut memperlihatkan komitmen sebenar PH terhadap kerjasama PH–GRS.
Mizma menyifatkan keputusan Abdul Halim sebagai usaha memperkukuhkan persefahaman politik antara dua gabungan tersebut.
“Penarikan diri calon PH itu agak mengejutkan, namun kita anggap PH telah memenuhi janji kerjasama GRS–PH. Ia menampakkan bahawa PH benar-benar bersama GRS dan menepati komitmen yang dipersetujui,” katanya kepada Sabah Media.
Beliau menambah, tindakan itu menghilangkan rasa ragu di peringkat akar umbi yang sebelum ini berdepan situasi banyak penjuru dan kekeliruan mengenai hala tuju kerjasama.
Apabila ditanya sama ada beliau berharap jentera PH akan turut membantu kempen GRS di Silam, Mizma secara terbuka mengakui perkara itu.
“Memanglah. Silam dan Segama sangat dekat, dan kita mahu membawa gerakan bersama, di mana Silam adalah GRS dan PH adalah Segama. Jika ada calon PH di Silam, janggal untuk saya membawa nama PH,” ujarnya.
Beliau berkata, ketiadaan calon PH di Silam membolehkan jentera kedua-dua parti bergerak tanpa kekeliruan atau keraguan.
Mengulas lebih lanjut, Mizma mengakui bahawa sebelum ini terdapat kebimbangan apabila berlaku pertandingan antara calon PH dan GRS di kerusi tertentu, kerana ia boleh menimbulkan rasa tidak selesa dalam blok kerjasama.
“Sebab mereka (penyokong) melihat belum apa-apa lagi kerjasama sudah dilanggar. Apalagi nanti bila tiba pemilihan ketua menteri. Jadi keputusan seperti ini meyakinkan semua kawan bahawa kesetiaan itu ada,” katanya.
Terdahulu, Abdul Halim dalam kenyataannya pagi ini menegaskan penarikan diri tersebut dibuat selepas pertimbangan mendalam dan perbincangan dengan pimpinan PH.
Beliau menafikan sebarang tekanan luar dan menyifatkan keputusan itu penting untuk menjaga hubungan baik dalam kerjasama politik yang lebih besar.
“Keputusan ini dibuat demi keharmonian dan masa depan politik negeri. Perjuangan untuk rakyat tidak berakhir hanya kerana tidak berada dalam pilihan raya,” katanya.
Dalam pada itu, Mizma berkata, kempen beliau pada PRN kali ini akan memberi keutamaan kepada pengundi muda, memandangkan demografi itu sangat besar di Silam.
“Tumpuan saya lebih kepada generasi muda tanpa meminggirkan pengundi lama walaupun mereka mungkin sudah punya pilihan,” jelasnya.






