Read Time:1 Minute, 30 Second
LABUAN: Tindakan penyamaran dan uji beli Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan membongkar penjualan gula pasir kasar melebihi harga runcit maksimum di sebuah pasar mini di sini.
Pengarah KPDN Labuan, Junaidah Arbain berkata, operasi itu dijalankan susulan aduan awam mengenai penjualan barang kawalan berjadual melebihi harga runcit maksimum yang ditetapkan.
Katanya, sepasukan pegawai penguat kuasa menyamar sebelum membuat pembelian uji beli di premis terbabit bagi mengesahkan aduan berkenaan.
“Hasil uji beli mendapati gula pasir kasar dijual pada harga RM2.90 sekilogram, iaitu RM0.05 lebih tinggi daripada harga maksimum yang ditetapkan sebanyak RM2.85 sekilogram,” katanya dalam kenyataan kelmarin.
Susulan penemuan itu, peniaga berkenaan disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 [Akta 723] kerana menjual barang harga terkawal melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
KPDN Labuan turut menyita barangan yang terlibat dalam kes berkenaan bersama bukti transaksi pembelian uji beli bagi tujuan siasatan lanjut.
Nilai keseluruhan sitaan dianggarkan berjumlah RM342.
Jika disabitkan kesalahan, individu boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, manakala kesalahan itu juga boleh dikompaun sehingga RM50,000, tertakluk kepada peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.
Junaidah berkata, tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiat bagi memastikan peniaga mematuhi harga maksimum yang ditetapkan kerajaan, khususnya membabitkan barang kawalan yang menjadi keperluan harian pengguna.
Beliau mengingatkan peniaga supaya tidak mengambil kesempatan menaikkan harga sesuka hati dan sentiasa menyemak harga kawalan semasa sebelum membuat jualan.
Pengguna pula disaran agar peka terhadap harga barangan yang ditawarkan dan tidak teragak-agak untuk menyalurkan aduan kepada KPDN sekiranya mendapati berlaku penjualan barang kawalan pada harga melebihi harga maksimum yang ditetapkan.
“Maklumat lengkap seperti nama dan lokasi premis, jenis barangan, harga jualan serta bukti transaksi, sekiranya ada, amat membantu KPDN dalam menjalankan siasatan dan tindakan penguatkuasaan,” katanya.






