PENAMPANG: Seorang penunggang motosikal maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Bundusan, di sini, pada malam Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir mengesahkan kejadian itu berlaku kira-kira jam 7.30 malam, melibatkan sebuah motokar dan sebuah motosikal.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati motokar yang dalam perjalanan menghala ke Towering melalui Jalan Bundusan dipercayai hilang kawalan ketika dipandu dalam keadaan hujan lebat sebelum terbabas dan melanggar motosikal yang berada berhampiran.
“Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal, seorang lelaki warga asing berusia 33 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemandu motokar tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya sehingga menyebabkan kematian.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati, mematuhi had laju serta peka terhadap keadaan cuaca, khususnya ketika hujan dan pada waktu malam, bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian itu diminta menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Penampang atau Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Saparia Ladoni, di talian 019-809 5133.






