LABUAN: Seorang peniaga dikenakan kompaun selepas didapati menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh tentusah bagi tujuan perdagangan di sebuah premis perniagaan di sini.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Labuan, Junaidah Arbain, dalam kenyataan berkata, kesalahan itu dikesan ketika pemeriksaan oleh pegawai penguat kuasanya pada Rabu.
Hasil pemeriksaan mendapati peniaga berkenaan menggunakan alat timbang neraca spring jenama Saigon yang tempoh tentusahnya telah tamat pada 14 Januari lalu.

Susulan itu, peniaga terbabit dikenakan kompaun mengikut Subseksyen 14(6) Akta Timbang dan Sukat 1972 kerana menggunakan alat timbang yang telah tamat tempoh tentusah bagi tujuan perdagangan.
Junaidah berkata, bagi kesalahan itu, pelaku boleh didenda tidak melebihi RM40,000 atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau turut mengingatkan semua peniaga supaya memastikan setiap alat timbang dan sukat yang digunakan bagi tujuan perdagangan telah ditentusah dan sentiasa berada dalam tempoh sah yang ditetapkan.
“Pematuhan terhadap keperluan ini penting bagi memastikan ketepatan sukatan dalam urus niaga serta melindungi hak dan kepentingan pengguna,” katanya.
KPDN Labuan turut menegaskan bahawa pihaknya akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi perundangan yang dikuatkuasakan.






