Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh J. Evachel John
KOTA KINABALU: Mahkamah Sesyen Khas Rasuah menetapkan 5 Disember untuk pengurusan kes pra-perbicaraan (PTCM) kes rasuah melibatkan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sabah yang berhubung lesen mencarigali mineral di Sabah.
Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga menetapkan tarikh tersebut terhadap Adun Sindumin, Datuk Dr Yusof Yacob, dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy, semasa prosiding PTCM hari ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Rustam Sanip meminta tarikh PTCM lanjut kerana pihak pendakwaan masih belum menerima cakera padat (CD) daripada Jabatan Forensik.
“Dalam prosiding sebelum ini, kami telah memaklumkan kepada mahkamah dan pihak peguam bahawa hanya CD sahaja belum diserahkan. Namun, sehingga kini kami masih belum menerimanya daripada Jabatan Forensik. Oleh itu, kami memohon penangguhan selama sebulan bagi membolehkan CD tersebut diserahkan kepada pihak peguam,” katanya.
Tambah Rustam, dalam kes Andi juga, pihak pendakwaan baru dimaklumkan pada pagi ini bahawa terdapat beberapa dokumen lain yang juga belum diserahkan kepada pihak peguam.
“Justeru, kami memerlukan PTCM dilanjutkan bagi meneliti dan menyemak dokumen-dokumen berkenaan selain CD tersebut, dan menyerahkan kepada pihak peguam.”
Pada 30 Jun lalu, Dr Yusof dan Andi mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mereka.
Dr Yusof, 69, didakwa menerima RM200,000 daripada ahli perniagaan Datuk Tei Jiann Cheing, yang juga dikenali sebagai Albert Tei pada 6 Mac tahun lalu di Rooftop Bar & Grill, Hotel Hilton, Kota Kinabalu. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan lesen Nusa Kini Sdn Bhd.
Andi, 44, pula didakwa menerima RM150,000 daripada Tei pada 12 Mei tahun lalu di kediamannya di Jalan Pantai, Sembulan. Wang itu didakwa sebagai dorongan untuk memproses permohonan lesen penerokaan Sinaran Hayat Sdn Bhd.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.
Hukuman bagi kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,00 mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Peguam Rizwandean M Borhan bersama Datuk Ram Singh, Shahlan Jufri dan Elhanan James mewakili kedua-dua adun berkenaan. Peguam Datin Jahara Patimbangi turut mewakili Andi.- SABAH MEDIA