Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Sabah

Pengasas Network School Tangguh Pelan Pelaburan Baharu di Malaysia Susulan Kontroversi Forest City

Read Time:1 Minute, 37 Second

KUALA LUMPUR: Pengasas Network School (NS), Balaji Srinivasan, mengumumkan bahawa pihaknya menangguhkan sementara semua rancangan pelaburan baharu di Malaysia susulan kontroversi yang mengaitkan komuniti berkenaan dengan dakwaan kehadiran warga Israel di kampus mereka di Forest City, Johor.

Menerusi hantaran di platform X, Srinivasan berkata, Network School telah melabur lebih RM100 juta untuk membangunkan kampusnya di Forest City serta menyediakan peluang pekerjaan kepada puluhan rakyat Malaysia, sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

Beliau turut mendakwa kehadiran Network School membantu meningkatkan nilai pembangunan Forest City, termasuk menyumbang kepada kenaikan nilai hartanah di kawasan tersebut.

Menurutnya, sebelum isu berkenaan timbul, syarikat itu sedang merancang peluasan operasi bernilai kira-kira RM500 juta di Malaysia.

Bagaimanapun, beliau berkata semua pelaburan baharu kini ditangguhkan sehingga pihaknya memperoleh jaminan bahawa situasi sama tidak akan berulang.

Srinivasan turut mendakwa beberapa pelabur dan eksekutif syarikat teknologi antarabangsa yang sebelum ini berminat untuk melabur di Forest City juga mengambil pendekatan sama.

Beliau berkata Malaysia kini mempunyai dua pilihan, sama ada meneruskan usaha menarik pelaburan teknologi global atau kehilangan peluang tersebut kepada negara lain.

Menurutnya, sekiranya kerajaan masih berhasrat menjadikan Malaysia sebagai hab teknologi bertaraf dunia, Network School bersedia membincangkan memorandum persefahaman (MoU) dengan kerajaan Persekutuan, seumpama kerjasama yang dimeterai antara Solana Foundation dan kerajaan Kazakhstan.

Beliau berkata pihaknya bersedia memberi komitmen terbuka untuk mematuhi semua undang-undang Malaysia serta menghormati kedaulatan negara.

Namun, jika Malaysia tidak lagi berminat menerima pelaburan daripada Network School dan rakan-rakan pelaburnya, beliau berkata modal pelaburan tersebut akan dialihkan ke negara lain.

Sementara itu, Jabatan Imigresen Malaysia sebelum ini memaklumkan pemeriksaan terhadap 266 warga asing daripada 40 negara yang menyertai program Network School di Forest City mendapati kesemua mereka memiliki dokumen imigresen yang sah.

Jabatan itu juga memaklumkan setakat ini tiada bukti ditemui yang menunjukkan kehadiran warga Israel dalam komuniti berkenaan.

Network School merupakan komuniti kediaman persendirian yang diasaskan Srinivasan pada 2024 di Forest City, Johor dan menghimpunkan usahawan, pelabur serta individu dalam bidang teknologi dari pelbagai negara.

LEAVE A RESPONSE