Read Time:1 Minute, 43 Second
RANAU: Penduduk Sabah, khususnya di daerah ini, bakal menikmati kemudahan jalan raya baharu yang menghubungkan Kundasang-Ranau melalui Kampung Tambiau, Kampung Sarapong dan Kampung Kenipir dengan nilai projek sebanyak RM56 juta yang dijangka dilaksanakan pada tahun hadapan.
Penyandang DUN Karanaan, Datuk Seri Masidi Manjun, berkata jalan baharu tersebut menghubungkan jalan dari Kampung Mohimboyon ke Tambiau, Sarapong dan Kenipir.
“Para pengguna jalan raya boleh memilih jalan baharu ini sebagai alternatif selain daripada jalan utama Kundasang-Ranau bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya pada waktu sibuk atau hari cuti,” katanya.
Tambah beliau, jalan baharu yang sebelum ini telah diumumkan dan kini dalam pembinaan melibatkan laluan pintas dari Kampung Kibbas, Mohimboyon, Pahu dan Himbaan seterusnya menghubungkan Kiulu dan Tinompok.
“Pembinaan jalan baharu ini bertujuan memudahkan urusan orang awam dan para petani di kawasan berkenaan dalam mengangkut hasil pertanian seperti buah-buahan dan sayur-sayuran ke pasar, sekali gus meningkatkan sumber pendapatan mereka,” katanya.
Masidi berucap merasmikan Majlis Warga Emas dan Makan Malam Kesyukuran 2025, anjuran bersama Dewan Perniagaan dan Perindustrian Tionghua Ranau dan Persatuan Pengusaha Pertanian Kundasang, di Dewan Hakka, pada Selasa lalu.
Menurut beliau, kerajaan negeri Sabah telah memperuntukkan sebanyak RM200 juta bagi pelaksanaan pelbagai projek pembangunan di daerah ini, khususnya melibatkan infrastruktur seperti loji rawatan air dan pembinaan jalan raya baharu demi manfaat rakyat.
Dalam majlis tersebut, Masidi memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Sabah memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bagi biasiswa khusus untuk pelajar berbangsa Cina di sekolah rendah Cina sehingga menengah peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Biasiswa ini akan membolehkan pelajar dari sekolah persendirian Cina untuk memohon biasiswa negeri, membolehkan lebih banyak peluang untuk pelajar dari sekolah persendirian Cina melanjutkan pelajaran dan mencapai aspirasi mereka dengan sokongan kerajaan,” katanya.
Tambah beliau, selain daripada peruntukan kerajaan pusat, Kerajaan Negeri telah membelanjakan sebanyak RM1.2 bilion untuk sektor pendidikan di negeri ini.
“Bantuan daripada kerajaan negeri diberikan kepada semua pelajar tanpa mengira latar belakang bangsa atau agama,” jelas beliau.
Turut hadir, Pengerusi Dewan Perniagaan Tiong Hua Ranau Datuk Dr Jimmy Tham Yuk Leong, Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Ranau Benedict Gunda dan Pegawai Daerah Ranau Tinus Manggam






