Read Time:1 Minute, 15 Second
PUTATAN : Pendekatan turun padang dan kerjasama erat antara kerajaan, agensi pelaksana serta masyarakat setempat menjadi kunci utama dalam memastikan daerah ini kekal selamat dan selesa untuk didiami.
Ahli Parlimen Putatan Datuk Shahelmey Yahya berkata, sinergi menyeluruh itu mampu memperkukuh penguatkuasaan serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kerajaan, khususnya berkaitan kebersihan dan keselamatan persekitaran.
Menurutnya, hubungan holistik antara penduduk dan pihak berkuasa bukan sahaja mempercepat penyelesaian isu setempat, malah mengelakkan masalah berlarutan sehingga menjejaskan kualiti hidup komuniti.
“Kita tidak boleh menunggu aduan semata-mata. Semua pihak perlu proaktif memberikan perkhidmatan terbaik dari semasa ke semasa demi keterjaminan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan program walkabout di sekitar perumahan Taman Jumbo dan Taman Friendship, di sini, bagi meninjau sendiri isu-isu yang dihadapi penduduk.
Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Keramat Shah Alfie Yahya, Pegawai Daerah Putatan Masawi Salleh serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Keramat Latip Jiar.
Mengulas mengenai lawatan itu, Shahelmey berkata beberapa isu dikenal pasti termasuk masalah perparitan, kerosakan jalan, kawasan pembuangan sampah tidak terurus serta keperluan penyelenggaraan pemotongan pokok.
Beliau turut memaklumkan terdapat kawasan tertentu yang sukar diselenggara kerana kekurangan kerjasama pemilik premis, khususnya dalam membenarkan pembersihan longkang, sekali gus berpotensi mengundang pembiakan nyamuk Aedes dan menjejaskan kesihatan awam.
Sehubungan itu, beliau meminta pihak konsesi menjalankan penyelenggaraan berkala, manakala Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memperhebat pemantauan rapi bagi menangani isu perumahan secara berterusan.
“Penduduk juga perlu menjadi mata dan telinga. Dengan kerjasama semua pihak, setiap masalah dapat ditangani lebih cepat dan berkesan,” katanya. – SABAH MEDIA






