Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Pendapat | MA63, Hak Sabah 40% dan Realiti Rundingan Persekutuan–Negeri

Read Time:3 Minute, 57 Second

Oleh Wan Azrain Adnan

Ringkasan AI 
1. Mahkamah arah semakan hak Sabah 40% dengan sasaran persetujuan April 2026.
2. Hanya sebahagian isu MA63 selesai, perkara besar masih dirunding.
3. Dashboard MA63 dilihat kurang maklumat dan tidak interaktif.
4. Timbul polemik tafsiran minyak dan gas di bawah MA63.
5. Sabah perkukuh peranan dalam sektor minyak dan gas melalui SMJ Energy.

Tatkala Malaysia melangkah ke tahun 2026, hubungan antara Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Sabah dan Sarawak kembali menjadi tumpuan, khususnya dalam usaha memenuhi semangat serta perkara-perkara yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Perkembangan terkini memperlihatkan beberapa langkah institusi yang signifikan, namun pada masa sama menimbulkan persoalan tentang keberkesanan pelaksanaan serta hala tuju rundingan yang sedang berlangsung.

Pada Oktober 2025, mahkamah mengarahkan Kerajaan Malaysia mengadakan semakan bersama Kerajaan Sabah berkaitan hak Sabah terhadap 40% hasil bersih yang diperoleh Persekutuan dari negeri itu bagi tempoh 1974 hingga 2021.

Perintah tersebut susulan permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Sabah Law Society pada Jun 2022, sekali gus menandakan satu perkembangan penting dalam tuntutan fiskal negeri di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Menyedari kepentingan isu berkenaan yang telah berlarutan sekian lama, mahkamah menetapkan tempoh masa yang jelas: semakan bersama perlu dilaksanakan dalam masa 90 hari, manakala persetujuan mesti dicapai dalam tempoh 180 hari, iaitu menjelang April 2026. Garis masa ini secara tidak langsung memberi tekanan kepada semua pihak untuk mencapai penyelesaian yang konkrit.

Sejurus selepas itu, laporan media pada pertengahan November 2025 menyatakan bahawa sebuah jawatankuasa khas telah ditubuhkan, melibatkan Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Sabah, dipengerusikan bersama oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan Malaysia.

 Jawatankuasa ini diberi mandat membincangkan mekanisme pelaksanaan tuntutan hak 40% Sabah serta melapor kepada Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 dan Jemaah Menteri.

Pada penghujung Januari 2026, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) memaklumkan Dewan Rakyat bahawa Kerajaan Malaysia kekal komited untuk meneruskan rundingan MA63 selaras dengan kerangka perundangan sedia ada.

Dalam tempoh yang sama, Timbalan Perdana Menteri turut melancarkan Dashboard MA63, sebuah platform bersepadu yang bertujuan menyelaras serta memantau kemajuan rundingan dan pelaksanaan secara lebih sistematik.

Namun, semakan terhadap dashboard tersebut mendapati ia masih bersifat asas dan kurang interaktif. Maklumat yang dipaparkan sekadar menyenaraikan perkara dan status penyelesaian tanpa penjelasan lanjut, sekali gus menyukarkan pemahaman menyeluruh mengenai tahap kemajuan sebenar setiap isu.

Setakat ini, dashboard berkenaan menyenaraikan 29 perkara di bawah MA63, dengan 13 daripadanya telah diselesaikan manakala selebihnya masih berada pada pelbagai peringkat rundingan.

Bagi Sabah, beberapa pencapaian penting termasuk penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas pada 2023, penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity pada 2024, pindaan Akta LHDN 1995 yang membolehkan wakil Sabah dilantik sebagai anggota tetap, serta pindaan Ordinan Buruh Sabah pada 2025.

Walau bagaimanapun, beberapa isu utama masih belum dimuktamadkan, termasuk kajian semula pemberian khas di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan (hak Sabah 40%), royalti minyak dan pembayaran tunai petroleum, serta persoalan berkaitan mineral minyak dan medan minyak.

Ketika rundingan masih berlangsung, polemik baharu tercetus apabila Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) menyatakan di Dewan Rakyat bahawa MA63 tidak mengandungi peruntukan khusus berkaitan pemilikan atau kawal selia minyak dan gas. Menurut beliau, sektor tersebut ditadbir melalui Akta Kemajuan Petroleum 1974 yang memberikan PETRONAS hak eksklusif dalam aktiviti petroleum.

Kenyataan itu bagaimanapun mendapat reaksi segera daripada Ketua Menteri Sabah yang menegaskan bahawa pandangan tersebut bukanlah pendirian rasmi kerajaan negeri. Sabah, katanya, kekal komited mencari penyelesaian terbaik melalui rundingan bagi memastikan kepentingan negeri terus terpelihara.

Bekas Presiden Sabah Law Society pula dilaporkan berpandangan bahawa MA63 tidak wajar ditafsir secara sempit hanya kerana ketiadaan peruntukan literal mengenai minyak dan gas, memandangkan perjanjian itu merupakan asas pembentukan negara yang menentukan pembahagian kuasa antara Persekutuan dan negeri.

Dalam konteks ini, menarik untuk diperhatikan bahawa Kerajaan Sabah pada masa sama terus mengorak langkah memperkukuh kedudukan dalam sektor minyak dan gas. Melalui SMJ Energy, sebuah anak syarikat milik penuh negeri, Sabah baru-baru ini memperoleh kepentingan strategik 20% dalam Production Sharing Contract (PSC) EOR Sabah Utara, yang melibatkan empat medan minyak dan 20 pelantar luar pesisir di perairan cetek sekitar Kota Belud. Pelaburan ini menyusul selepas penglibatan SMJ Energy dalam PSC Samarang pada April 2023.

Sejak menandatangani Commercial Collaboration Agreement bersama PETRONAS pada 2021, penglibatan syarikat tempatan Sabah dalam industri minyak dan gas juga dilaporkan meningkat ketara.

Antara 2021 hingga 2025, lebih 455 kontrak telah dianugerahkan kepada syarikat Sabah — peningkatan lebih tiga kali ganda berbanding 130 kontrak sebelumnya — merangkumi kira-kira 33% daripada keseluruhan kontrak yang ditawarkan.

Keseluruhannya, perkembangan terkini menunjukkan bahawa rundingan MA63 masih berada dalam fasa kritikal, dengan garis masa April 2026 semakin hampir. Walaupun terdapat kemajuan dari sudut institusi dan pelaburan strategik, persoalan asas mengenai hak fiskal, pengurusan sumber serta tafsiran perundangan terus menjadi cabaran utama yang memerlukan keseimbangan antara kepentingan Persekutuan dan aspirasi negeri.

Maju Nda Baranti.

LEAVE A RESPONSE