Read Time:1 Minute, 27 Second
KOTA KINABALU : Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) menegaskan pendirian menolak sebarang gesaan agar Barisan Nasional (BN) menyertai Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) Plus yang dipimpin oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
Dalan satu kenyataan, pergerakan itu berkata, Kerajaan GRS Plus telah pun melepasi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan negeri dengan komposisi semasa melibatkan GRS sebanyak 29 kerusi, Bebas (5), UPKO (3), Pakatan Harapan (1), KDM (1) selain mendapat sokongan daripada STAR sebanyak dua kerusi.
Menurut kenyataan itu lagi, kedudukan kerajaan akan bertambah kukuh dengan pelantikan enam Ahli Dewan Undangan Sabah Dilantik, sekali gus memastikan kestabilan pentadbiran negeri di Dewan Undangan Sabah.
“Komposisi Ahli Yang Berhormat dalam Kerajaan GRS Plus pada ketika ini adalah kukuh, stabil dan mencukupi untuk meneruskan agenda pembangunan negeri tanpa memerlukan sebarang penambahan daripada pihak yang telah ditolak oleh rakyat.
“Keputusan pengundi wajib dihormati. Rakyat Sabah telah memberikan isyarat yang jelas dengan menolak BN daripada berada dalam kerajaan negeri, dan sebarang cubaan untuk menafikan kehendak rakyat disifatkan tidak wajar,” menurut kenyataan itu di sini.
Pemuda Gagasan Rakyat berkata, pengalaman lalu perlu dijadikan pengajaran dimana langkah-langkah sumbang politik yang berlaku pada tahun 2023, yang turut digerakkan oleh BN, tidak seharusnya berulang kerana ia telah menggugat kestabilan politik dan keyakinan rakyat.
“Tambahan pula, BN sendiri secara terbuka sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah telah melancarkan serangan politik yang luar biasa terhadap GRS serta kepimpinan YAB Ketua Menteri.
“Maka, adalah tidak wajar kini mereka tampil dengan tuntutan untuk disertakan dalam kerajaan.
“Sehubungan itu, Pemuda Gagasan Rakyat menegaskan bahawa fokus utama kerajaan ketika ini adalah memastikan kestabilan politik, memperkukuh pentadbiran serta mempercepatkan agenda pembangunan demi kesejahteraan rakyat Sabah, bukannya melayani percaturan politik yang tidak berlandaskan mandat rakyat,” tambah kenyataan itu lagi. – SABAH MEDIA






