Read Time:1 Minute, 56 Second
RANAU : Pemegang Adat perlu memainkan peranan penting dalam memastikan kemenangan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17) November ini.
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paginatan Datuk Abidin Madingkir berkata Pemegang Adat adalah tiang dan tulang perpaduan di kampung-kampung.
Katanya, kekuatan kerajaan adalah berpunca daripada kesatuan rakyat di peringkat akar umbi.
Beliau berkata ketika berucap pada Majlis Taklimat Calon GRS Paginatan di Markas DAM Lohan Ulu, di sini.
Abidin menegaskan, perjuangan GRS berlandaskan prinsip dan keikhlasan untuk rakyat Sabah, justeru beliau kekal sebagai ahli langsung GRS (Direct Member) walaupun tidak lagi bersama parti asalnya.
“Kita sama-sama bina rumah, mengapa perlu dirobohkan? Lima tahun kita berusaha membangunkan Parti Star dalam GRS. Apabila presiden bertindak meniadakan usaha itu, sudah tentu kita tidak boleh bersetuju,” jelasnya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan terhadap hala tuju Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang berjaya membawa pelbagai manfaat kepada rakyat.
“Kerajaan GRS telah melaksanakan pelbagai inisiatif rakyat termasuk Perumahan SMJ, bantuan tunai RM300 sebulan kepada penerima e-Kasih, bantuan persekolahan serta peningkatan peruntukan kepada rumah ibadat termasuk gereja.
“Dalam tempoh lima tahun, kestabilan politik GRS berjaya meningkatkan hasil negeri, menarik pelaburan asing dan membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak Sabah,” katanya.
Abidin turut berkongsi latar belakang profesionalnya bagi menjawab tohmahan yang mempertikaikan kelayakannya. Beliau merupakan lulusan Ekonomi Universiti Malaya, berijazah Undang-Undang dari University of London, dan memiliki Certificate of Legal Practice (CLP) dari Universiti Malaya.
“Selama 40 tahun saya berkhidmat sebagai penjawat awam, termasuk 22 tahun sebagai Setiausaha Tetap di pelbagai kementerian serta dua penggal sebagai Mayor Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK). Semua pengalaman ini menjadi bekalan untuk terus berkhidmat kepada rakyat Paginatan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pemegang Adat DUN Paginatan, Dualis Porodtong, menyeru semua ahli supaya kekal bersatu dan berpegang kepada slogan ‘saling melengkapi dan bekerjasama’ demi memastikan kemenangan calon GRS di kawasan itu.
“Kita akan buktikan kesetiaan dan perpaduan kita pada PRN17 nanti,” ujarnya.
Ketua Daerah, OKK Muhasip Rauman, pula mengingatkan agar Pemegang Adat tidak gentar dengan propaganda lawan.
“Bayangan tidak mampu menjatuhkan kita. Kekuatan sebenar adalah rakyat yang bersama kita,” katanya sebelum mengetuai bacaan ikrar taat setia oleh lebih 100 ahli Pemegang Adat DUN Paginatan sebagai tanda sokongan kepada Datuk Abidin.
Turut hadir, Naib Presiden PBS Datuk Arthur Sen, Pegawai Khas Datuk Abidin, Juis Konsuling, serta pemimpin-pemimpin tempatan. – SABAH MEDIA






