Read Time:1 Minute, 30 Second
TAWAU : Hospital Tawau mencatat satu pencapaian bersejarah dalam perkhidmatan kepakaran bedah saraf apabila berjaya melaksanakan prosedur Pembedahan Otak Dalam Keadaan Sedar (Awake Craniotomy) buat pertama kali di Dewan Bedah Hospital Tawau pada Isnin lalu.
Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam satu kenyataan memaklumkan, pembedahan itu dijayakan melalui kerjasama antara pasukan Pembedahan Saraf Hospital Tawau dan pakar bius neuro dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) serta HQE2.
Prosedur itu diketuai oleh Dr Tan Shze Ee dan Dr Andy Yap Teck Cheng dengan sokongan Dr Ting Mei Sze Pakar Bius Neuro bersama pasukan anestesiologi Hospital Tawau.
Menurut JKNS, pesakit merupakan seorang wanita berusia 48 tahun yang telah didiagnos dengan lesi otak sejak November 2025.
“Keadaan pesakit tidak menunjukkan tindak balas yang memuaskan terhadap rawatan awal dan gejala yang dialami pesakit semakin bertambah.
” Justeru rawatan pembedahan adalah disyorkan bagi membolehkan pesakit menjalani kualiti kehidupan yang lebih baik.
“”Awake Craniotomy” ialah pembedahan otak yang dilakukan keatas pesakit dalam keadaan sedar sepanjang prosedur pembedahan,” menurut kenyataan itu di sini.
Menurut kenyataan itu lagi, keadaan sedar ini penting agar pakar bedah dapat menilai sejauh mana keberkesanan pembedahan serta memantau kesan sampingan yang mungkin timbul semasa pembedahan tersebut.
Prosedur yang berlangsung selama dua jam setengah ini berjaya dilaksanakan dengan selamat dan pesakit kini berada dalam keadaan stabil dan sedang menjalani pemantauan rapi.
Kejayaan prosedur ini menandakan kesiapsiagaan Hospital Tawau dalam menyediakan perkhidmatan bedah saraf terbaik setaraf dengan perkhidmatan yang disediakan di hospital negeri.
Perkhidmatan ini memberi manfaat langsung kepada penduduk di Pantai Timur Sabah untuk menerima rawatan kepakaran tersebut tanpa perlu dirujuk ke hospital tertier bagi mendapatkan rawatan kompleks disamping menjimatkan kos-kos lain yang terpaksa ditanggung oleh pesakit dan penjaga pesakit apabila dirujuk di fasiliti lain.
JKNS akan terus beriltizam dalam memperkukuhkan perkhidmatan kepakaran serta memperluas akses rawatan berkualiti demi kesejahteraan masyarakat.






