Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Pelbagai langkah diambil tangani isu 40% hak Sabah – Mustapha

Read Time:2 Minute, 29 Second

PUTATAN: Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah mengambil beberapa langkah bagi memastikan isu tuntutan 40 peratus hak Sabah ditangani secara menyeluruh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Ts. Mustapha Sakmud berkata langkah tersebut diambil susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober 2025, melalui proses perundangan serta rundingan antara kedua-dua pihak.

“Sejak November 2025, beberapa siri mesyuarat telah diadakan melalui Jawatankuasa Rundingan antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah di peringkat pegawai bagi meneliti secara teknikal kaedah pengiraan serta verifikasi data hasil yang berkaitan.

“Dalam proses tersebut, Kerajaan Persekutuan telah berkongsi data hasil bersih yang diperoleh daripada Sabah bagi tempoh tahun 2007 hingga 2025.

“Pada masa yang sama, usaha sedang dijalankan untuk melengkapkan data bagi tempoh terdahulu, khususnya dari tahun “The Lost Years”, yang sebahagian besarnya direkodkan secara manual dan memerlukan penelitian lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri majlis berbuka puasa bersama pengamal media sabah di sini pada Sabtu.

Tambahnya lagi, perbincangan juga sedang berlangsung bagi menentukan kaedah yang dipersetujui bersama dalam pengiraan pemberian khas berdasarkan formula 40 peratus daripada hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari Sabah.

Menurutnya, pada 14 November 2025, Peguam Negara telah memfailkan Notis Rayuan terhadap sebahagian keputusan Mahkamah Tinggi tersebut. Selaras dengan itu, Kerajaan Persekutuan juga telah memfailkan permohonan penggantungan pelaksanaan sebahagian perintah mahkamah (stay of execution) di Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan.

“Permohonan penggantungan ini tidak menjejaskan prinsip tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah, sebaliknya bertujuan memberikan ruang yang sewajarnya kepada kedua-dua pihak untuk meneruskan rundingan dan penelitian yang lebih terperinci berkaitan pengiraan hasil bersih Persekutuan daripada Sabah,” katanya.

Mustapha menjelaskan, permohonan penggantungan perintah mahkamah ini turut dibuat bagi memastikan rundingan yang sedang berjalan dapat diteruskan secara teratur serta memberi ruang kepada kedua-dua pihak untuk mencapai satu penyelesaian yang adil dan menyeluruh untuk Negeri Sabah.

Di samping itu, Mustapha berkata tempoh 180 hari yang berkaitan dengan pelaksanaan perintah tersebut dijangka tamat pada 15 April 2026, manakala tarikh pendengaran rayuan masih belum ditetapkan oleh mahkamah.

“Tanpa penggantungan tersebut, kedua-dua pihak berdepan risiko prosiding pengkomitan (contempt of court) walaupun proses rayuan masih belum didengar,” katanya sambil memaklumkan permohonan penggantungan ini dijadualkan untuk didengar di Mahkamah pada 31 Mac 2026.

Mustapha berkata pendirian Kerajaan Sabah dan juga pihak Sabah Law Society (SLS) yang memilih untuk membantah permohonan stay of execution tersebut harus dihormati.

“Dalam sebuah sistem demokrasi dan perundangan yang matang, perbezaan pandangan adalah sesuatu yang wajar dan merupakan sebahagian daripada proses semak dan imbang.

“Namun demikian, saya percaya bahawa matlamat semua pihak adalah sama, iaitu memastikan hak Sabah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terus dipelihara dan dilaksanakan secara adil.

“Justeru, saya berharap segala proses perundangan dan rundingan yang sedang berjalan dapat dilaksanakan dengan penuh kebijaksanaan, semangat kerjasama serta keutamaan kepada kepentingan rakyat Sabah,” katanya.

Mustapha memberi jaminan isu tuntutan 40 peratus pemberian khas kepada Sabah seperti yang termaktub di bawah Perkara 112C dan 112D Perlembagaan Persekutuan terus menjadi perhatian beliau kerana ia menyentuh hak perlembagaan Negeri Sabah.

LEAVE A RESPONSE