Read Time:1 Minute, 35 Second
KOTA KINABALU : Orang ramai sekitar bandaraya Kota Kinabalu dipelawa hadir memeriahkan Pesta Buku Antarabangsa Kota Kinabalu 2025 (PBAKK 2025) yang berlangsung selama lima bermula 12 November ini.
PBAKK 2025 yang akan berlangsung di Pusat Konvesyen Antarabangsa Sabah (SICC) itu dianjurkan bersama antara Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kerjasama Perpustakaan Negeri Sabah (PNS) serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah.

Pengarah Penerbit UMS, Prof. Dr. Patricia Matanjun berkata, program bertemakan ‘Books Meet Culture’ itu akan disertai penyertaan lebih 90 reruai pempamer dari dalam dan luar negara.
Katanya, PBAKK 2025 menjadi platform perkongsian ilmu, promosi budaya membaca dan jaringan industri kreatif Borneo. Penganjuran ini turut menyahut aspirasi UNESCO Kota Sastera ke arah menjadikan Sabah sebagai hab sastera dan penerbitan bertaraf antarabangsa.
“Kita menyasarkan seramai 100,000 pengunjung akan hadiri, terdiri daripada pelajar-pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT), Institut Pendidikan Guru (IPG), politeknik, sekolah, kakitangan akademik, penyelidik dan masyarakat awam.
“Selain itu, sebanyak 90 reruai pempamer akan dihimpunkan terdiri daripada Penerbit IPTA (Ahli MAPIM), penerbit swasta, penerbit/pengedar buku tempatan dan antarabangsa, dan agensi Kerajaan,” katanya.
Dr. Patricia berkata, penganjuran pada tahun ini amat istimewa dengan penyertaan penerbit, penulis dan pempamer dari rantau BIMP-EAGA (Brunei, Indonesia, Malaysia, dan Filipina).
Katanya, ia memperkukuh peranan Kota Kinabalu sebagai pusat ilmu, budaya dan kreativiti serantau di Asia Tenggara.
Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 152,000 judul buku daripada pelbagai genre, termasuk buku ilmiah, buku popular, buku kanak-kanak, buku rujukan dan banyak lagi akan turut dipamerkan.
“Antara matlamat penganjuran PBAKK 2025 ini adalah penguatan budaya membaca dan literasi; memacu pembangunan industri buku dan ekonomi kreatif; meningkatkan keterlibatan komuniti dan pendidikan.
“Selain itu, meningkatkan jaringan dan kerjasama antara industri selain menyahut aspirasi UNESCO Kota Sastera ke arah menjadikan Sabah sebagai sebuah Kota Sastera di bawah rangkaian UNESCO Creative Cities Network (UCCN) dengan memperkukuh ekosistem sastera, penulisan dan penerbitan di peringkat global,” katanya. – SABAH MEDIA






