Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Pasar Sin On berwajah baharu, projek naik taraf bumbung siap bawa keselesaan

Read Time:1 Minute, 27 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Pasar Sin On, di sini kini berwajah baharu selepas projek menaik taraf bumbungnya siap sepenuhnya, sekali gus memberi keselesaan dan perlindungan lebih baik kepada para peniaga serta pengunjung yang berurus niaga di pasar berkenaan setiap hari.

Ahli Jawatankuasa DAP Sabah merangkap Ahli Majlis Perbandaran Tawau (MPT), Philip Yap Wui Lip berkata, projek tersebut turut melibatkan pemasangan papan tanda baharu, menjadikan Pasar Sin On tampil dengan imej yang lebih tersusun dan mesra pengunjung.

Beliau berkata, kawasan luar pasar juga akan dilengkapi dengan bumbung tempat letak kereta bagi memudahkan orang ramai meletak kenderaan dan membeli-belah tanpa perlu risau tentang hujan atau cuaca panas.

“Projek ini telah diumumkan dan diluluskan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming. Kami berterima kasih atas sokongan beliau serta pasukan DAP Tawau yang memastikan para peniaga dan penduduk dapat menikmati kemudahan yang lebih selesa dan selamat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas dakwaan bahawa Pasar Sin On merupakan pasar swasta dan tidak sepatutnya menggunakan peruntukan kerajaan, Philip menjelaskan bahawa Pasar Sin On ialah pasar awam milik MPT, bukannya pasar swasta.

“Kerja penyelenggaraan harian seperti kebersihan memang diserahkan kepada kontraktor swasta, tetapi kerja naik taraf berskala besar seperti penggantian bumbung dan pembinaan bumbung tempat letak kereta adalah tanggungjawab MPT dengan peruntukan daripada kerajaan,” tegasnya.

Menurutnya, projek tersebut memberi manfaat secara langsung kepada penduduk Tawau, terutama peniaga dan pengunjung yang menggunakan kemudahan itu setiap hari.

“Kami akan terus memantau dan memperjuangkan pembangunan tempatan bagi memastikan Tawau menjadi bandar yang lebih selesa, moden dan sejahtera untuk semua,” tambah beliau.

Dengan siapnya projek naik taraf ini, Pasar Sin On bukan sahaja tampil dengan wajah baharu, tetapi turut mencerminkan komitmen kerajaan dan pihak berkuasa tempatan untuk mempertingkatkan kemudahan awam demi kesejahteraan rakyat.

LEAVE A RESPONSE