Read Time:1 Minute, 36 Second
Oleh Florieta Diet
KOTA KINABALU: Presiden Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Tan Sri Pandikar Amin Mulia, dan isterinya, Puan Sri Diana Diego @ Yusrina Sufiana, masing-masing akan bertanding di dua kerusi Dewan Undangan (DU) dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Sabah ke-17.
Pandikar akan bertanding di kerusi DUN Pintasan, manakala isterinya dicalonkan di DUN Sekong, kedua-duanya merupakan kerusi yang diagihkan kepada USNO dalam pembahagian kerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
Ketika ditanya adakah beliau akan memenangi kerusi itu, “Komen saya ialah, saya akan menang. You wanna bet with me? (Kamu mahu bertaruh dengan saya?) “Saya yakin,..saya yakin…saya pastikan kemenangan ini… Kalau kamu tidak yakin, kamu mahu bertaruh dengan saya? Ada sesiapa mahu bertaruh?,” katanya ketika ditemui media selepas Majlis Pengumuman Calon GRS, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.
Pandikar turut mengimbas kembali prestasinya pada PRU Dewan Undangan Sabah 2020.
“Ketika itu saya bertanding atas tiket USNO sendiri. Saya tersepit antara Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN), tetapi masih dapat 2,660 undi dan kalah hanya dengan 84 undi sahaja. Sekarang saya calon kerajaan, saya yakin saya menangkan kerusi ini untuk GRS,” katanya.
Ditanya mengenai kemungkinan berlaku boikot atau sabotaj dalam kalangan penyokong, beliau berkata perkara itu tidak dapat dielakkan dalam mana-mana pilihan raya.
“Dalam mana-mana pilihan raya pun memang ada sabotaj. Itu terpulang kepada calon masing-masing. Bukan saja kami, GRS juga akan menghadapi saingan daripada parti-parti lain. Jadi, terpulang kepada setiap parti, masing-masing mesti pastikan calon mereka menang,” katanya.
Menjawab soalan sama ada
pengundi akan memberi sokongan kepada isterinya yang turut bertanding, Pandikar berkata, “Kita akan lihat nanti.”
Beliau menegaskan keyakinannya bahawa GRS telah memilih calon-calon yang mempunyai potensi untuk menang.
“GRS memilih calon yang mempunyai peluang untuk menang. Semua sudah melalui tapisan. USNO diberi dua kawasan iaitu DUN Pintasan dan DUN Sekong. Kamu mahu tanya orang yang sarat dengan ilmu politik?” tegasnya lagi.






