Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

Nizam tegaskan video Almarhum Datuk Tawfiq tidak harus dimanipulasi


Read Time:1 Minute, 14 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Tindakan pihak tertentu yang didakwa menggunakan video lama Allahyarham Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan bagi meraih simpati politik pada saat-saat akhir kempen pilihan raya amat dikesali.

Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan perbuatan itu tidak beretika dan menyinggung keluarga allahyarham yang merupakan abang beliau.

“Kita dapat lihat di TikTok ada logo-logo yang kita tahu dari mana. Kita berharap mereka jangan menggunakan isu yang menyentuh sensitiviti orang lain, khususnya ucapan arwah Datuk Tawfiq,” katanya ketika ditemui selepas program Ceramah Perdana di kawasan lapang Kampung Titingan, di sini malam tadi.

Beliau yang juga calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) DUN Apas menegaskan, video berkenaan merupakan rakaman tahun 2018 dan tidak wajar dijadikan bahan kempen pada masa kini.

“Saya difahamkan anak sulung arwah sendiri sudah membuat kenyataan meminta pihak berkenaan berhenti menggunakan video tersebut dan mempolitikkan ucapan arwah. Sekarang tahun 2025, sepatutnya hormatilah keluarga,” katanya.

Menurut Nizam lagi, tindakan menggunakan isu peribadi sedemikian menunjukkan sikap tidak matang dan tidak beradab dalam politik.

“Kalau benar parti itu berpengalaman, beradab dan ada tata etika hebat, perkara begini tidak akan dibuat. Sikap angkuh dan sombong seperti inilah yang menyebabkan mereka ditolak rakyat, bukan saja di Sabah tetapi di tempat lain juga,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa jasa Allahyarham Datuk Tawfiq sangat besar kepada rakyat Sabah dan wajar dihormati semua pihak.

“Kalau tidak ada isu, diamlah. Jangan menimbulkan kemarahan rakyat. Hormatilah keluarga Almarhum. Jasa beliau dihormati oleh semua,” katanya.

LEAVE A RESPONSE