Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Nizam selesai buang undi bersama keluarga, gesa rakyat Sabah tunai tanggungjawab

Read Time:1 Minute, 35 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, menunaikan tanggungjawab mengundi pagi ini bersama isteri dan empat anaknya di pusat daerah mengundi SK Titingan, tepat jam 8.34 pagi.

Menurut beliau, proses mengundi berjalan lancar dan suasana tenang sejak ketibaannya di pusat pengundian tersebut.

“Alhamdulillah, hari ini hari pengundian dan saya bersama isteri, Datin Wahida Mardiana Norsalim, serta empat anak saya membuang undi di SK Titingan. Segala-galanya berjalan dengan baik,” katanya ketika ditemui sejurus selesai membuang undi.

Nizam berkata, beliau bersyukur kerana perjalanan kempen selama 14 hari yang merangkumi gerak kerja jentera, ceramah dan program mendekati pengundi berjalan lancar.

“Kita telah bekerja keras sejak hari penamaan calonndan hari ini kita sampai ke penghujungnya. 

“Insya-Allah, apa yang dirancang akan memberi kejayaan kepada GRS,” katanya sambil menegaskan komitmen meneruskan usaha memajukan Sabah sekiranya diberi mandat semula.

Mengulas jangkaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bahawa peratusan keluar mengundi mungkin tidak melebihi 60 peratus, Nizam berharap rakyat Sabah dapat meningkatkan jumlah tersebut.

“Itu memang trend kebiasaannya. Tapi saya berharap mereka yang layak, keluarlah beramai-ramai. Kalau boleh biar kita capai 70 peratus atau lebih. Ini tanggungjawab kita menentukan masa depan negeri,” ujarnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab hanya dapat dibentuk dengan mandat kuat daripada rakyat.

Nizam menyifatkan pilihan raya negeri sebagai proses penting yang memastikan Sabah terus berada pada landasan pembangunan yang betul.

“Setiap lima tahun, perlembagaan menetapkan kita kembali kepada rakyat untuk mendapatkan mandat. Untuk negeri ini bergerak maju, kita perlukan kerajaan yang stabil dan dominan,” jelasnya.

Beliau menegaskan pencapaian GRS dalam pentadbiran negeri menunjukkan kestabilan politik membawa manfaat besar kepada ekonomi, pembangunan sosial dan kesejahteraan rakyat.

“Hasil yang meningkat, kita kembalikan kepada rakyat. Sebab itu saya menyeru warga Sabah keluarlah menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya sambil menegaskan keyakinannya bahawa rakyat akan membuat pilihan terbaik demi kemajuan Sabah. – SABAH MEDIA 

LEAVE A RESPONSE