Read Time:1 Minute, 7 Second
KOTA KINABALU: Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM1.86 juta daripada Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd dan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) bagi tahun 2025.
Yang Dipertua MUIS, Datuk Seri Yahya Hussin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan berbanding zakat yang diserahkan kedua-dua institusi berkenaan pada tahun sebelumnya.
Menurutnya, Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd menyerahkan zakat perniagaan berjumlah RM1.1 juta bagi tahun 2025 berbanding RM1 juta pada tahun 2024.
“Manakala zakat yang diserahkan oleh SEDCO pula meningkat kepada RM760,000 pada tahun 2025 berbanding RM370,000 pada tahun 2024,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman di Istana Seri Kinabalu, di sini, pada Khamis.
Penyerahan zakat berkenaan turut disaksikan Tun Musa dalam satu majlis yang berlangsung di Istana Seri Kinabalu.
Yahya berkata peningkatan jumlah zakat yang disumbangkan itu menunjukkan perkembangan positif dalam kalangan syarikat korporat yang menunaikan tanggungjawab sosial melalui pembayaran zakat.
Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih banyak syarikat dan individu yang berkemampuan untuk menunaikan zakat bagi membantu golongan yang layak menerima bantuan.
Turut hadir, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif; Setiausaha MUIS, Datuk Ramlan Awang Ali; Pengarah Celcom Timur (Sabah) Sdn Bhd; Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Datuk Ar. James Wong Kein Peng serta Timbalan Pengurus Besar Kumpulan SEDCO, Azrul Ahmad.





