KOTA KINABALU: Dua lelaki masing-masing didakwa di Mahkamah Majistret hari ini atas pertuduhan memiliki motosikal curi.
Madji Muji, 34, dan Mohd Rizwan, 25, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan masing-masing dibacakan di hadapan Majistret Dzul Elmy Yunus.
Madji didakwa dengan niat curang memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Honda milik seorang lelaki pada 17 Mac, jam 6.20 petang, di kawasan berhampiran perhentian bas UMS, Jalan Canselor, dekat sini.
Mohd pula didakwa dengan niat curang memiliki harta curi iaitu sebuah motosikal jenis Yamaha milik seorang lelaki pada 18 Mac, kira-kira jam 11.50 malam di tepi Jalan Pekan Indah Permai.
Kedua-dua mereka didakwa di bawah Seksyen 411 Kanun Keseksaan.
Mahkamah menetapkan 28 April dan 4 Mei bagi sebutan kes pra-perbicaraan Madji dan Mohd serta membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin tempatan.
Peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Lim Ming Zoong @ Lawrence, mewakili Mohd manakala Madji tidak diwakili peguam.
Pendakwaan dikendalikan oleh Inspektor Mohamad Hamidi Mohamad Hamzah.





