Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Matbali gesa peruntukan khas luar jangka, tangani banjir di Sabah

Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU: Kementerian Kewangan disaran untuk menyediakan peruntukan tambahan khas luar jangka untuk menangani isu bencana alam, khususnya banjir yang kerap terjadi termasuk di daerah Beaufort.

Ahli Parlimen Sipitang  Datuk Matbali Musah berkata, langkah itu penting supaya bantuan segera dapat digerakkan setiap kali musibah melanda.

“Peruntukan tambahan khas luar jangka diperlukan untuk menangani isu bencana alam yang kerap terjadi, khususnya di negeri Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian  ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan Kementerian Kewangan di Dewan Rakyat di sini pada Khamis.

Matbali berkata, beliau membangkitkan perkara itu berikutan banjir kembali melanda beberapa daerah di Sabah. 

Katanya, awal minggu ini, daerah Pitas, Kota Marudu, Paitan dan Beluran dilanda banjir yang menjejaskan lebih 10,000 penduduk terjejas, dengan lebih 5,000 orang dipindahkan. 

Manakala semalam, lima lagi daerah diisytihar sebagai kawasan bencana banjir, iaitu Sipitang, Beaufort, Sook, Tenom dan Membakut.

“Ketika saya sedang berucap pada saat ini pun, banyak jalan di Parlimen Sipitang masih berendam air banjir. 

“Banjir seolah-olah menjadi musim tetap di negeri kami, khususnya di kawasan Sipitang yang merangkumi daerah Sipitang dan Beaufort. 

“Setiap tahun, malah beberapa kali setahun, air bah datang tanpa jemu—yang terbaru sedang berlaku sejak dua hari yang lalu,” katanya.

Dalam pada itu, Matbali turut mencadangkan Kementerian Kewangan menyediakan peruntukan tambahan khas luar jangka bagi memperbaiki sekolah daif dan uzur.

Beliau merujuk kes di Sekolah Kebangsaan (SK) Luagan Sanginan  yang patah tetulangnya pada 18 Disember lalu, menyebabkan ia ditutup disebabkan bahaya jika terus digunakan.

Katanya, sudah lebih dua bulan berlalu, dan murid-murid di situ terpaksa belajar dalam keadaan tidak selesa.

“Kelas-kelas dipindahkan ke pusat sumber, makmal, bilik pemulihan, malah menumpang di bilik darjah lain. 

“Sebahagian pula terpaksa mengikuti pembelajaran di dewan terbuka sekolah. 

“Kita difahamkan bahawa pihak PPD sudah memohon untuk menggantikan bangunan sekolah tersebut, tetapi hingga kini ia masih menunggu jawapan,” katanya.

Beliau berterima kasih kepada Pegawai Pendidikan Daerah Beaufort, Ghani Senang yang prihatin dan segera datang ke lokasi selepas dihubungi Guru Besar, Zulkifli Bidul pada hari kejadian.

LEAVE A RESPONSE