Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Maritim Malaysia gagalkan cubaan seludup 60 tong gas bersubsidi

Read Time:1 Minute, 35 Second

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) berjaya mengagalkan cubaan menyeludup keluar 60 tong gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi ke negara jiran dalam satu operasi di perairan Tawau, kelmarin.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Ariffin Ghazali berkata, kejayaan itu hasil tindakan bot peronda Maritim Malaysia yang menjalankan Op Pagar Laut dan Op Tiris selepas menerima maklumat risikan mengenai pergerakan mencurigakan sebuah bot di kawasan tersebut.

Beliau berkata, bot peronda yang diarahkan ke lokasi berjaya mengesan bot terbabit bergerak keluar dari kawasan Jeti Batu 3, Tawau menuju ke Pulau Sebatik kira-kira jam 9 malam.

“Bagaimanapun, ketika cubaan memintas dilakukan, juragan bot tersebut bertindak berpatah balik menuju ke pesisir pantai sebelum terjun meninggalkan bot bersama muatan untuk melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini pada Ahad.

Ariffin berkata, hasil pemeriksaan ke atas bot kargo berkenaan mendapati terdapat 60 tong gas LPG berisi yang dipercayai cuba diseludup keluar tanpa sebarang permit kebenaran.

Katanya, bot bersama kesemua muatan itu kemudian dirampas dan dibawa ke Jeti Zon Maritim Tawau sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut.

Menurutnya lagi, kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan nilai keseluruhan rampasan termasuk bot kargo, enjin bot serta muatan dianggarkan berjumlah RM53,800.

Sementara itu, Ariffin berkata, menjelang musim perayaan biasanya berlaku peningkatan permintaan barangan dari pasaran luar, sekali gus mendorong sindiket menjalankan kegiatan penyeludupan.

“Modus operandi mereka adalah melakukan aktiviti pada waktu sunyi bagi mengelakkan dikesan oleh pihak penguat kuasa,” katanya.

Beliau menegaskan Maritim Malaysia akan terus mempertingkatkan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti jenayah rentas sempadan terutama menjelang musim perayaan, khususnya di perairan Tawau.

“Maritim Malaysia memandang serius sebarang aktiviti jenayah di laut dan aset rondaan sentiasa bersiap sedia untuk digerakkan pada bila-bila masa bagi menghadapi sebarang situasi,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah di laut diminta menyalurkannya kepada Pusat Operasi Zon Maritim Tawau di talian 089-750116 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

LEAVE A RESPONSE