Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Makanan tradisional perkukuh perpaduan – Joachim

Read Time:1 Minute, 23 Second

SANDAKAN: Budaya makanan tradisional memainkan peranan penting dalam menghubungkan generasi, mengeratkan hubungan kekeluargaan serta memperkukuh perpaduan dalam masyarakat majmuk.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam, berkata makanan tradisional bukan sekadar hidangan, sebaliknya lambang warisan, sejarah dan jati diri sesuatu kaum yang diwarisi secara turun-temurun.

“Melalui makanan, kita mengenang asal-usul dan jasa nenek moyang, di samping menyemai nilai hormat, kebersamaan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Joachim yang juga merupakan Menteri Kerja Raya dan Utiliti Sabah, berkata demikian ketika merasmikan Festival Makanan Tradisional Cina 2026 anjuran Persatuan Masyarakat Tiong Hwa Bersatu Sandakan, dekat sini, pada Ahad.

Menurut Joachim, terdapat sekurang-kurangnya 15 etnik Cina di daerah Sandakan, termasuk Teochew, Hakka, dan Hokkien, yang masing-masing memiliki keunikan budaya serta tradisi masakan tersendiri.

Sehubungan itu, katanya, penglibatan aktif persatuan-persatuan etnik dalam menampilkan kepelbagaian sajian tradisional menerusi penganjuran festival seumpama ini amat penting dalam usaha memelihara serta memartabatkan warisan budaya.

“Festival seperti ini bukan sahaja mempamerkan kepelbagaian masakan tradisional, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum, agama dan latar belakang untuk berinteraksi serta saling memahami,” katanya.

Pada majlis tersebut, Joachim menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Festival Makanan Tradisional Cina 2026, sambil berharap agar festival berkenaan dapat diteruskan sebagai acara tahunan yang mampu menyatukan masyarakat majmuk di Sabah.

Dalam pada itu, beliau turut menyentuh komitmen Kementerian Kerja Raya dan Utiliti Sabah (KKRU), khususnya melibatkan penambahbaikan dan kestabilan bekalan air di Sandakan.

Menurutnya, beliau bersama kakitangan kementerian akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa kawasan di daerah Sandakan, Kinabatangan dan Telupid hari ini dan Selasa, bagi mengenal pasti permasalahan berkaitan bekalan air, jalan raya, pembetungan, kemudahan utiliti awam serta pembangunan infrastruktur asas.

LEAVE A RESPONSE