Read Time:1 Minute, 46 Second
Oleh Rhea Dharmin
KOTA KINABALU: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Seri Dr Jeffrey G Kitingan memberi tempoh masa sehingga esok kepada kepada lima orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang kekal dengan pendirian untuk menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk mengubah keputusan mereka.
Katanya, walaupun beliau menghormati keputusan lima ADUN terbabit namun pada masa sama turut mengingatkan kepada mereka untuk menghormati keluhan dan sentimen rakyat.
“Tindakan lima ADUN itu mereka punya pilihan. Saya tidak melarang sebab mereka pun sebenarnya faham apa pendirian yang patut. Kalau mereka tidak mendengar keluhan rakyat, tidak menghormati sentimen rakyat, biarlah rakyat yang menentukan.
“Kita akan (mengadakan) mesyuarat dan buat keputusan. Ramai orang yang bersedia untuk mengganti mereka. Saya telah memberikan mereka (tempoh) satu minggu dan separuh daripada masa itu telah berlaku.
“Kalau mereka selepas ini masih tidak mengambil kesempatan untuk buat pendirian seperti mana yang sepatutnya .. sebab itu kursi (DUN) yang kita hadiahkan kepada mereka jadi sudah tentu kerusi itu akan kita bagi kepada calon-calon baru .. pejuang-pejuang yang setia dan pembaharuan di dalam.
“Ini mungkin peluang kita untuk memberi ruang kepada orang muda. (Beri masa kepada lima ADUN) sampai esok,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita bertempat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini, hari ini.
Sementara itu, lima ADUN STAR terbabit dalam satu kenyataan media bersama yang dikeluarkan hari ini menegaskan akan kekal dengan pendirian untuk terus bersama GRS dan menyokong penuh kepimpinan pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Pada pandangan kami, kestabilan politik negeri dan kesinambungan pembangunan adalah keutamaan di bawah Kerajaan Negeri Sabah yang ada sekarang. Dengan demikian, kami berpegang kepada mandat serta kepercayaan yang diberikan rakyat kepada kami.
“Kami percaya bahawa sebarang keputusan berkaitan dengan hala tuju parti wajar dibincangkan dengan teliti demi kepentingan rakyat dan negeri.
“Justeru, kami berdiri teguh untuk kekal bersama GRS dan mempertahankan kerusi kami atas lambang GRS sebagai tanda setia kepada mandat rakyat dan demi kestabilan Sabah,” jelas dalam kenyataan itu.
Antara lima ADUN STAR yang terlibat adalah Timbalan Presiden STAR merangkap ADUN Sook, Datuk Ellron Angin, Datuk Abidin Madingkir (Paginatan); Datuk Robert Tawik (Bingkor); Datuk Annuar Ayub (Liawan) dan Datuk Flovia Ng (Tulid).