SANDAKAN: Bekas ADUN Karamunting, Datuk George Hiew Vun Zin, menggesa supaya lampu isyarat pejalan kaki dipasang di kawasan Bandar Leila di sini, selepas seorang pejalan kaki cedera parah dilanggar kereta pada 31 Oktober.
Mangsa yang dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent untuk rawatan kecemasan dilaporkan masih berada dalam keadaan kritikal. Menurut penduduk kampung, mangsa merupakan seorang lelaki muda yang mempunyai isteri yang sarat mengandung.
Yap Hsiu Min yang mewakili Hiew , bersama beberapa staf telah bergegas ke hospital selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.
Anggota pasukan perkhidmatan Hiew itu telah bertemu dengan keluarga mangsa dan menyampaikan sumbangan kewangan dari Hiew kepada mereka.
Dalam kenyataan, Hiew menegaskan bahawa kawasan tersebut merupakan laluan sibuk yang sering berlaku kemalangan melibatkan pejalan kaki.
“Saya telah menghubungi pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Sandakan dan menggesa agar lampu isyarat pejalan kaki dipasang dengan segera bagi menjamin keselamatan penduduk setempat dan mengelakkan tragedi seperti ini berulang,” katanya.





