Read Time:1 Minute, 44 Second
CYBERJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik penegasan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bahawa Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan lebih RM2 bilion di Sabah bagi meningkatkan infrastruktur digital, termasuk ketersambungan Internet dan pembangunan bandar pintar.
Menurut kenyataan media MCMC hari ini, seiring pengumuman tersebut, MCMC mengesahkan bahawa peruntukan melebihi RM2 bilion ini merangkumi inisiatif utama yang sedang dan bakal dilaksanakan di seluruh Sabah.
Salah satu inisiatif utama ialah pelaksanaan Bandar Raya Pintar Kota Kinabalu melalui kerjasama strategik MCMC dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) yang dimeterai pada Disember 2024.
Inisiatif ini melibatkan pembangunan infrastruktur digital bernilai lebih RM300 juta yang merangkumi empat komponen utama seperti perluasan rangkaian gentian optik, penyediaan Wi-Fi awam di lokasi strategik, pemasangan ‘smart poles’ berintegrasi 4G dan 5G, serta sistem CCTV pintar yang berhubung terus ke pusat operasi bandar pintar (Integrated Operations Centre).
Bagi meluaskan lagi liputan di Sabah, pelaksanaan JENDELA 2 akan ditambah dengan 800 lokasi baharu terutama di kawasan pedalaman dan pulau-pulau, dengan anggaran kos keseluruhan sebanyak RM1.4 bilion.
Peruntukan ini merangkumi kos pembangunan serta kos operasi bagi tempoh lima tahun.
Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 3.7 juta rakyat Sabah dan mencapai liputan 100% di kawasan berpenduduk.
Sehingga September 2025, sebanyak 131 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) kini beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi kira-kira RM210 juta untuk lima tahun.
Melalui penyediaan ruang pembelajaran komuniti yang menawarkan akses Internet, latihan kemahiran, perkhidmatan dalam talian dan program literasi digital, NADI memastikan penduduk termasuk di kawasan pedalaman mempunyai peluang setara untuk menyertai ekonomi berasaskan pengetahuan.
Selain itu, kerajaan juga sedang melaksanakan projek Fiber-to-the-Home (FTTH) di Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) di kem-kem ATM di Sabah, yang menyediakan sambungan gentian optik terus ke rumah anggota tentera.
Sebanyak sembilan kem tentera di Sabah telah menerima manfaat inisiatif ini, melibatkan kira-kira 6,900 kediaman dengan jumlah kos sebanyak RM14.2 juta.
MCMC kekal komited untuk memastikan setiap usaha ini diterjemahkan kepada manfaat nyata untuk rakyat Sabah, sama ada dari segi kualiti rangkaian, pengalaman pengguna, dalam talian mahupun pembangunan bandar pintar.






