Read Time:2 Minute, 24 Second
KOTA KINABALU : Sebanyak lebih 2,000 kilogram minyak masak terpakai (UCO) berjaya dikumpulkan melalui Pertandingan Pengumpulan UCO yang disertai oleh 13 buah sekolah sekitar Kota Kinabalu.
Pertandingan itu merupakan sebahagian daripada usaha Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) bagi memupuk kesedaran sivik dan amalan lestari dalam kalangan pelajar mengenai kepentingan pengurusan UCO serta potensinya sebagai bahan mentah bagi penghasilan Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF).
Majlis penutupan dan penyampaian hadiah disempurnakan Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin di sini pada Isnin.
Chan ketika berucap berkata, pihaknya merakamkan ucapan penghargaan kepada semua sekolah yang terlibat termasuk Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dan JCI Kota Kinabalu atas komitmen serta kerjasama bagi menjayakan program yang diadakan buat julung kalinya di Sabah.

Katanya, kejayaan mengumpul lebih 2,000 kilogram UCO dalam tempoh dua bulan membuktikan bahawa usaha pendidikan dan kesedaran alam sekitar di peringkat sekolah mampu memberi impak besar kepada komuniti.
“Ia bukan sekadar aktiviti kitar semula, tetapi komitmen masyarakat dalam menyokong hala tuju negara ke arah penghasilan tenaga mampan,” katanya.
Beliau turut menambah bahawa minyak masak terpakai kini mempunyai nilai ekonomi yang semakin penting, terutamanya sebagai bahan mentah utama dalam penghasilan SAF.
Katanya ia adalah seiring dengan Dasar Agrikomoditi Negara 2030 (DAKN2030) yang menekankan pembangunan agrikomoditi bernilai tambah tinggi dan rendah karbon.
Menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), jumlah pengumpulan UCO di Sabah pada tahun lalu hanya sekitar 5,200 tan, iaitu kurang daripada 1.5 perats daripada keseluruhan kutipan UCO di Malaysia sebanyak 380,000 tan pada tempoh yang sama.
Justeru katanya, inisiatif seperti pertandingan ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada peningkatan kadar pengumpulan UCO di negeri Sabah.
Sementara itu, Chan turut menyeru agar lebih banyak pihak, termasuk sekolah-sekolah lain, badan bukan kerajaan dan komuniti tempatan, menyertai usaha ini bagi menguruskan minyak masak terpakai dengan cara yang lebih berkesan.
Katanya, langkah itu bukan sahaja memberi manfaat ekonomi melalui penjanaan pendapatan tambahan kepada isi rumah, tetapi juga membantu mengurangkan pelepasan gas rumah kaca serta pencemaran alam sekitar.
“Sekolah-sekolah yang berminat boleh berhubung dengan pejabat saya untuk penyelarasan bersama DBKK serta vendor pengumpulan minyak masak terpakai berlesen seperti Arus Oil, bagi memastikan proses pengumpulan dan penyaluran UCO dijalankan dengan teratur dan selamat.
“Program sebegini membuktikan bahawa tindakan kecil di peringkat komuniti mampu memberi kesan besar kepada masa depan tenaga lestari negara. Marilah kita bersama-sama memperkukuh budaya kitar semula demi kesejahteraan rakyat dan kelestarian bumi,” katanya.
Pada pertandingan itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hwa Likas berjaya menjadi johan bagi kategori sekolah rendah dengan UCO sebanyak 420 kilogram.
Manakala bagi kategori sekolah menengah telah dimenangi Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sanzac yang berjaya mengumpul 392.5 kilogram.
Pencapaian ini menunjukkan tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan pelajar dan warga sekolah terhadap kepentingan pengurusan minyak masak terpakai secara teratur.
Penglibatan aktif pelajar, guru, dan ibu bapa turut menjadi faktor penting dalam menjayakan inisiatif ini. – SABAH MEDIA






