Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Lebih 1,000 peserta sertai program Cy-Clean 2.0 di Inanam

Read Time:1 Minute, 32 Second

INANAM : Lebih 1,000 peserta terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat menyertai Program Leave No One Behind: Cy-Clean (Cycle & Clean) 2.0 yang berlangsung di Tapak Tugu Pekan Inanam di sini.

Program anjuran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) itu mengetengahkan konsep berbasikal sambil mengutip sampah sebagai simbol perpaduan komuniti dan usaha bersama ke arah mewujudkan ‘Komuniti Sejahtera’ serta bandar raya lestari.

DBKK dalam satu kenyataan memaklumkan, inisiatif Cy-Clean 2.0 itu bukan sekadar aktiviti riadah tetapi juga platform kesedaran awam mengenai kepentingan menjaga kebersihan dan kelestarian alam sekitar.

“Melalui program ini, kita mahu masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat, bertanggungjawab terhadap persekitaran, dan memperkukuh hubungan antara komuniti dengan pihak berkuasa tempatan,” menurut kenyataan itu di sini.

Selain itu, DBKK turut berharap agar inisiatif itu dapat diteruskan sebagai program tahunan untuk memperkukuh semangat kesukarelawanan, kehijauan dan perpaduan dalam kalangan warga Kota Kinabalu.

“Jika setiap komuniti memainkan peranan, kita bukan sahaja dapat membina bandar yang bersih dan sihat, tetapi juga komuniti yang bersatu dan sejahtera,” tambah kenyataan itu.

Sementara itu, aktiviti berbasikal sejauh 10 kilometer dari Pekan Inanam ke Kampung Sinulihan itu disertai oleh pelbagai kumpulan termasuk pelajar IPT, warga emas, komuniti OKU, NGO tempatan serta penjawat awam.

Peserta turut mengambil bahagian dalam aktiviti pembersihan, kuiz alam sekitar, pameran interaktif dan cabutan bertuah.

Turut serta dalam program ini ialah Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah serta beberapa agensi kerajaan dan NGO lain.

Antara objektif utama program ini ialah menyokong matlamat Sustainable Cities in the World, mempromosi gaya hidup sihat dan keluarga harmoni, serta meningkatkan tanggungjawab sosial terhadap kebersihan dan kelestarian bandar.

Program Cy-Clean 2.0 juga seiring dengan dasar-dasar utama negara seperti Dasar Komuniti Negara (DKN), Dasar Kebersihan Negara, dan Dasar Pengurusan Sisa Pepejal, yang menekankan keseimbangan pembangunan bandar dan kelestarian alam. – SABAH MEDIA / FOTO DBKK

LEAVE A RESPONSE