Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

KRT Inderasabah galak perpaduan masyarakat melalui program sukaneka dan jualan rahmah

Read Time:1 Minute, 58 Second

Oleh Sitti Nor Azizah Talata

TAWAU: Program Sukaneka Sembang Santai Bersama Komuniti Kampung Inderasabah bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi wadah memperkukuh perpaduan dan mempererat hubungan antara penduduk kampung.

Abit Sulaiman

Menurut Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kampung Inderasabah, Abit Sulaiman, penganjuran program sebegini adalah antara usaha berterusan KRT untuk menghubungkan masyarakat melalui aktiviti santai dan inklusif.

“Program ini bertujuan mengeratkan perpaduan. Setiap program seperti jualan rahmah, sukaneka dan pertandingan-pertandingan lain dianjurkan oleh KRT dengan perbelanjaan sendiri.

“Sebagai pengerusi, saya ambil inisiatif untuk memperbesarkan program ini supaya dapat libatkan lebih ramai penduduk,” katanya ketika ditemui semasa program tersebut di sini, hari ini.

Beliau berkata, setiap kali program diadakan, masyarakat kampung turut mengambil peluang menjalankan aktiviti jualan bagi menambah pendapatan mereka.

“Anak muda pun ramai terlibat. Kalau lihat hari ini, termasuk kanak-kanak, ada lebih kurang 200 orang yang mengambil bahagian,” ujarnya.

Tambahnya, KRT digalakkan melaksanakan sekurang-kurangnya 12 program setahun bagi menggalakkan perpaduan dan penglibatan komuniti, menjadikan KRT Kampung Inderasabah antara yang aktif di daerah Tawau.

Kemudahan asas seperti jalan dan mini astaka di Inderasabah yang semakin baik selepas dinaiktaraf. Foto Sabah Media/ Sitti Nor Azizah Talata

Dalam pada itu, Abit yang juga Wakil Ketua Anak Negeri dan Ketua PDM Kampung Inderasabah, menzahirkan penghargaan terhadap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang disifatkan banyak membawa kemajuan kepada penduduk kampung.

“GRS memang terbukti membantu rakyat daripada bantuan sekolah, pembinaan rumah SMJ, jalan kampung, hingga kepada kemudahan lampu dan solar. Semua ini sudah ada di Inderasabah,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan bahawa kerajaan GRS kini sedang giat menyiapkan pelbagai projek asas termasuk jalan raya dan bekalan air yang sebelum ini terjejas akibat kelewatan pelaksanaan oleh kerajaan terdahulu.

“Masalah air dan jalan raya ini bukan baharu, tapi kini sudah hampir siap. Kalau GRS terus diberi mandat, saya yakin dalam tempoh setahun ini masalah itu dapat diselesaikan sepenuhnya,” ujarnya.

Abit turut menyatakan harapan agar pembangunan kampung terus diperkasakan termasuk penambahan rumah SMJ bagi membantu lebih ramai keluarga memerlukan.

“Masih banyak yang perlu diteruskan dan kami harap kerajaan GRS kekal untuk memastikan pembangunan di kampung ini berterusan,” tambahnya.

Beliau turut menyatakan keyakinan terhadap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Apas, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan yang disifatkan sebagai wakil rakyat prihatin dan sentiasa turun padang.

“Datuk Nizam memang terbaik, selalu bersama rakyat walaupun jadualnya padat. Beliau banyak membantu kampung kami dan tetap dekat di hati penduduk Inderasabah,” jelasnya.

LEAVE A RESPONSE