Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

InstaForex
InstaForex
Pilihan

Kompleks Cina-Muslim bakal jadi tarikan pelancongan baharu di Sabah

Read Time:1 Minute, 14 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri meluluskan tanah seluas dua ekar bagi pembinaan Kompleks Kebudayaan Cina-Muslim di negeri ini, sekali gus memperkukuh lagi keharmonian antara kaum dan agama di Sabah.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kelulusan tanah itu adalah susulan permohonan Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) untuk membina sebuah kompleks yang bukan sahaja menempatkan pusat kebudayaan Cina-Muslim, tetapi turut merangkumi pembinaan sebuah masjid yang terbuka kepada orang ramai.

“Kompleks ini kelak bukan sekadar pusat ibadah, malah berpotensi menjadi produk pelancongan baharu yang menampilkan keunikan keharmonian kaum dan agama di Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Iftar dan perayaan Tahun Baru Cina 2026 di sini pada Sabtu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, tapak projek itu terletak berhampiran Luyang, di Jalan Kebudayaan dan disifatkan sebagai lokasi strategik untuk pembangunan kemudahan berkenaan.

Beliau berkata, apabila siap kelak, kompleks tersebut dijangka menjadi antara tarikan pelancong yang ingin menyaksikan sendiri keindahan kepelbagaian budaya dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama di Sabah.

Terdahulu, mengulas program itu, Masidi berkata, program tahunan anjuran MACMA itu wajar dicontohi kerana bukan sahaja menghimpunkan masyarakat Cina beragama Islam, malah turut melibatkan wakil pelbagai agama lain.

“Majlis seperti ini mengingatkan kita betapa pentingnya memelihara perpaduan. Ketika dunia berdepan pelbagai cabaran hubungan antara kaum dan agama, Sabah terus memberi contoh terbaik dalam pengurusan hubungan masyarakat berbilang etnik,” katanya.

Beliau berkata, dalam konteks Sabah, kepelbagaian agama dalam sebuah keluarga bukanlah sesuatu yang luar biasa, malah hubungan silaturahim tetap terpelihara walaupun berbeza pegangan.

LEAVE A RESPONSE