Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Sabah

KKR ambil tindakan proaktif selesaikan isu teknikal projek LPB Sabah


Read Time:1 Minute, 15 Second

PUTATAN : Kementerian Kerja Raya Malaysia (KKR) mengambil tindakan proaktif dengan memberi fokus terhadap beberapa isu teknikal yang menjejaskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo (LPB) Sabah.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, tindakan itu dilaksanakan melalui mesyuarat Jawatankuasa Pemandu sebelum melakukan tinjauan ke beberapa lokasi pembinaan bagi meneliti perkembangan semasa pakej LPB di negeri ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan bagi mengenal pasti masalah utama termasuk pengambilan balik tanah, pengalihan utiliti, kelewatan syarikat pengurusan dan kekangan bekalan material. 

Katanya, isu tenaga kerja dan bekalan bitumen yang sebelum ini terganggu kini dilaporkan kembali stabil.

“Mesyuarat membolehkan kita menyelesaikan isu-isu besar dan kecil dengan lebih cepat kerana ia turut disertai wakil Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan tinjauan pembinaan LPB di Kampung Ketiau, di sini pada Jumaat.

Selain mesyuarat, pihaknya turut turun ke tapak melibatkan Pakej 6, Pakej 7 dan Pakej 8 untuk meninjau keadaan semasa selain memberi nasihat terus kepada pihak pengurusan projek dan memastikan langkah penyelesaian diambil segera.

Alexander berkata, jawatankuasa kecil teknikal juga ditubuhkan bagi mengumpul maklumat lebih terperinci sebelum mesyuarat pemandu seterusnya, bagi mempercepat proses keputusan dan tindakan.

Sementara itu, beliau menegaskan bahawa kesinambungan pentadbiran negeri selepas pilihan raya baru-baru ini membantu mempercepat koordinasi antara kerajaan Persekutuan dan Negeri khususnya memastikan projek itu terus bergerak dengan lancar.

“Semua projek rakyat termasuk jalan raya, sekolah, hospital dan fasiliti kerajaan mesti dilaksanakan dengan terbaik. 

“Oleh itu, kita hadir di Sabah untuk memastikan masalah ditangani segera,” katanya. – SABAH MEDIA

LEAVE A RESPONSE