Malaysia News Todays

Berita Terkini Malaysia, politik, ekonomi, sukan, hiburan, jenayah,

Pilihan

Keselamatan komuniti jadi keutamaan di PPR Taman Batu Sapi

BATU SAPI: Program Kesedaran Keselamatan Komuniti 2025 telah dilangsung dengan jayanya di Dewan Serbaguna PPR Taman Batu Sapi di sini, hari ini.

Program yang dianjurkan bagi penduduk setempat itu bertujuan meningkatkan kewaspadaan terhadap aspek keselamatan rumah, kawasan kejiranan, serta langkah pencegahan jenayah.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sekong, Safaruddin Abu, yang mewakili Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan.

Dalam ucapannya, Safaruddin menegaskan bahawa kehadiran beliau mencerminkan komitmen berterusan pimpinan Gagasan Rakyat Parlimen Batu Sapi dan kerajaan untuk sentiasa berdampingan dengan rakyat.

“Komitmen ini penting bagi memastikan program-program kesejahteraan dan keselamatan masyarakat dapat dilaksanakan dengan berkesan dan sampai kepada yang memerlukan,” katanya.

Menurutnya, melalui inisiatif sebegini, penduduk bukan sahaja menerima maklumat penting mengenai keselamatan, malah berpeluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pihak pimpinan dan wakil agensi-agensi yang terlibat.

Kehadiran penduduk yang menggalakkan ke program tersebut membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap isu keselamatan dan nilai program seumpamanya dalam membina komuniti yang lebih selamat dan prihatin.

LEAVE A RESPONSE