Read Time:1 Minute, 36 Second
Oleh Erdie Ab Wahid
KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Kemabong, Datuk Rubin Balang menyambut baik saranan serta penekanan yang disuarakan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) khususnya melibatkan kerjasama erat antara ahli dan pimpinan parti.
Katanya, Pengerusi GRS mahu kerjasama erat antara ahli dan pimpinan parti perlu dijadikan asas utama dalam memastikan kemenangan dan kestabilan politik di negeri ini.
“Presiden Gagasan Rakyat yang juga Pengerusi GRS telah menitikberatkan dalam ucapan beliau sempena pelancaran jentera GRS pada hari ini dimana beliau menekankan hubungan kerjasama sesama ahli dengan pemimpin haruslah dirapatkan.
“Beliau mahu memastikan supaya jentera disetiap peringkat di negeri, di bahagian, di cawangan supaya bersiap-siaga dan melaksanakan tugas tanggungjawab yang diamanahkan dengan jujur dan setia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sabah Media sempena pelancaran jentera parti GRS di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini pada Ahad.
Majlis itu disempurnakan Pengerusi GRS Datuk Seri Hajiji Noor.
Rubin yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemabong berkata, beliau turut bersetuju dengan penekanan Pengerusi GRS bahawa kemenangan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) penting demi menjamin kestabilan politik Sabah.
Katanya, ia juga merupakan asas utama bagi menarik pelabur, merancakkan pertumbuhan ekonomi dan menjamin kesejahteraan rakyat.
“Kita tidak mahu Sabah terus tenggelam dalam ketidaktentuan politik. Kestabilan politik sangat penting untuk masa depan negeri ini, dan jentera kita perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan GRS demi rakyat Sabah,” tegas beliau.
Sementara itu, Rubin berkata, jentera parti di peringkat bahagian telah memulakan persiapan sejak tiga bulan lalu.
“Jentera kami sudah siap sedia lebih awal. Sekarang ini, kita hanya perkemaskan semula mana-mana aspek yang masih boleh diperbaiki. Semua bergerak dalam satu pasukan, mengikut arahan pimpinan,” ujarnya.
Ditanya mengenai hasrat untuk bertanding semula dalam PRN akan datang, Rubin menyatakan kesediaannya untuk mempertahankan kerusi DUN Kemabong, sekiranya diberi kepercayaan oleh kepimpinan parti.
“Saya bersedia bertanding jika diberi peluang dan mandat. Namun keputusan akhir itu terletak di tangan Presiden,” katanya ringkas. – SABAH MEDIA