Read Time:3 Minute, 33 Second
Oleh Normimie Diun
PAPAR: Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas antara kementerian bagi menangani isu penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial serta risiko lambakan produk asing dalam pasaran tempatan, termasuk yang dijual secara dalam talian dan terbuka.
Keputusan tersebut dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri, semalam (6 Feb) selepas kebimbangan tersebut dibangkitkan secara rasmi oleh badan-badan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) tempatan.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, jawatankuasa khas itu akan diselaraskan oleh Kementerian Kewangan (MOF) dengan penglibatan antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta KPDN.
“Isu asal yang dibawa oleh PMKS ialah penyalahgunaan Pas Lawatan Sosial bagi tujuan bekerja dan menjalankan perniagaan, khususnya melibatkan pelabur dan syarikat tertentu dari luar negara yang mengambil pekerja asing secara tidak sah dalam sektor pembinaan dan perkhidmatan.
“Selain itu, KPDN turut mencadangkan supaya terma rujukan jawatankuasa ini diperluaskan untuk melihat kebimbangan PMKS berhubung lambakan produk asing yang semakin ketara,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan 52 unit kedai dua tingkat, Pasar Raya Everrise & Gim Level-Up 24 Jam di Kinarut Palm Avenue di sini, hari ini.
Armizan berkata, kemasukan produk luar yang tidak terkawal, sama ada melalui platform e-dagang oleh pengguna atau diimport oleh pelabur tempatan dan asing untuk kegunaan projek, berisiko menjejaskan pasaran produk tempatan.
“Kerajaan menggalakkan penggunaan barangan tempatan, namun kecenderungan membeli produk import yang lebih murah boleh memberi kesan serius kepada kelangsungan perniagaan PMKS.
“Isu ini bukan hanya soal harga, tetapi turut melibatkan aspek keselamatan, kualiti dan pematuhan standard produk yang masuk ke negara kita,” katanya.
Beliau menjelaskan, antara contoh produk yang dibimbangi termasuk barangan pengguna yang dijual secara dalam talian tanpa kawalan menyeluruh, selain bahan dan peralatan pembinaan, termasuk peralatan kecil yang sebenarnya turut dihasilkan oleh industri tempatan.
“Kita bimbang jika pasaran dikuasai sepenuhnya oleh produk luar, industri tempatan akan terpaksa menutup operasi dalam jangka panjang,” katanya.
Mengulas konteks Sabah, Armizan mencadangkan supaya Kerajaan Negeri bersama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia meneliti secara mendalam penglibatan pelabur asing dalam sektor pelancongan, khususnya di Semporna.
Beliau berkata, laporan awal menunjukkan terdapat sekitar 81 resort, chalet dan penginapan yang diusahakan sama ada melalui usaha sama atau sepenuhnya oleh syarikat luar.
“Kita mengalu-alukan pelaburan asing, namun perlu dilihat sama ada PMKS tempatan mendapat bahagian yang adil dalam rantaian perniagaan, selain peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan,” katanya.
Menurut Armizan, jawatankuasa khas itu akan memberi tumpuan kepada penyelarasan aspek undang-undang, dasar, penguatkuasaan dan pemantauan bagi memastikan pasaran tempatan kekal mampan serta melindungi kepentingan industri tempatan.
“KPDN akan memainkan peranan dalam memastikan kesihatan pasaran domestik dan memperkukuh agenda mengutamakan barangan tempatan,” katanya.
Beliau menegaskan, dapatan penuh akan dibentangkan selepas setiap kementerian yang terlibat mengemukakan laporan masing-masing dalam jawatankuasa khas berkenaan.
Mengulas mengenai Kinarut Palm Avenue , Armizan berkata ia adalah satu lagi projek mercu tanda pembangunan di kawasan Kinarut, sekali gus melengkapkan ekosistem bandar baharu yang dibangunkan oleh pemaju tempatan WSG Group di daerah ini.

Projek berkenaan merupakan kesinambungan kepada pembangunan Kinarut Palm City dan Kinarut Palm Square, dengan komponen komersial merangkumi 52 unit kedai dua tingkat, Pasar Raya Everrise serta Gym Level-Up 24 Jam. Turut dirancang ialah pembangunan ballroom dan pawagam 10Star Cinema.
Jelas Armizan lagi, pembangunan itu dijangka memperkukuh potensi Kinarut sebagai pusat pertumbuhan baharu di Papar, selain membuka lebih banyak peluang perniagaan kepada PMKS serta peluang pekerjaan, khususnya kepada golongan belia tempatan.
“WSG Group antara pemaju yang berjaya memacu transformasi perbandaran di Papar, dengan pelaksanaan projek yang progresif dan lancar sejak peringkat awal pembangunan.
“Seiring perkembangan pesat itu, kerjasama rapat antara pemaju, kerajaan negeri dan agensi berkaitan akan terus diperkukuh bagi memastikan keperluan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan air, elektrik dan utiliti lain dilaksanakan secara selari.
“Dengan siapnya Kinarut Palm City dijangka hujung tahun ini dan Kinarut Palm Avenue pada tahun hadapan, Papar diyakini akan terus berkembang sebagai kawasan bandar baharu moden yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat setempat,” katanya.






